Behind The Scene!

20070730

Coming Soon

Kopi Kluang (Bahagian Kedua) akan muncul tidak lama lagi! Saya dah siasat apa kaitan Kopi Kluang di Kantin Stesyen dengan Kluang Station di OU,Tesco -- maklumlah reporter...

20070729

Go or Not to Go

KUALA LUMPUR, July 28th, 2007Saya masih berkira-kira siapa bakal saya namakan untuk pergi ke Kota Kinabalu untuk satu laporan khas mengenai anggota tentera kita yang sedang bertugas di beberapa pulau di sana.

Ketua Editor Penugasan menyerahkan kepada saya petang tadi mengenai tugasan itu dan bertanya perlukah kami menghantar wakil ke Kota Kinabalu? Jika perlu katanya cari wartawan di bawah jagaan saya yang sesuai untuk ke sana atau saya sendiri yang pergi.

Masalahnya hanya kami bertiga dalam unit Jenayah dan Keselamatan.

Sejak mengetuai unit itu 3 tahun lalu, wartawan dalam unit saya sering bertukar-tukar, dan ia banyak dibantu oleh wartawan-wartawan praktikal – bukan tidak percaya pada kemampuan wartawan baru atau praktikal, cuma risau ia memberi impresi kurang senang dari pihak Kementerian Pertahanan memandangkan laporan ini lebih kepada liputan khas mengenai anggota mereka.

“Awak nak pergi?” tayan saya kepada seseorang dalam unit kami.

“Saya takutlah bang, nak tulis apa nanti?” katanya.

“Macam-macam benda boleh tulis, jadikan dalam dua tiga siri.” Jawab saya ringkas.

Jawapan yang tidak menyakinkan itu menyebabkan saya berfikir semula, siapa yang sepatutnya pergi. Saya tidak boleh salahkan dia kerana dia baru bertugas di organisasi kamu tidak sampai setahun.

Dalam hati, takkan saya kena pergi sedangkan saya masih sibuk dengan kes Altantuya. Saya memang suka buat laporan khas seperti itu, tapi dalam masa sama kesian juga pada seorang lagi rakan setugas dalam tim-altantuya kami.

Saya ambil keputusan untuk berbincang semula dengan Ketua Editor Penugasan berhubung perkara ini, Isnin nanti.

20070724

Kopi Kluang dan Kantin Stesyen


KLUANG, July 21st 2007 (Sat) Pernah beberapa tahun lalu ada yang bertanya mengenai hebatnya kedai kopi di dalam Stesyen Keretapi Kluang kepada saya, namun tidak banyak yang boleh saya perkatakan, kerana memang saya tidak tahu apa-apa berhubung kedai kopi yang kami panggil Kantin Stesyen itu.

Seingat saya, sejak kecil adalah beberapa kali saya ke sana, sama ada minum kopi dengan telur rebus separuh masak atau nasi lemak. Itupun sewaktu umur saya masih budak, antara 4 hingga 7 tahun.


Saya masih ingat, kalau ke sana dengan arwah Abah, dia tentu pesan telur rebus separuh masak letak madu sikit. Saya pula akan minum kopi susu yang dibancuh dalam tin susu pekat dan dihidang dengan tin-tinnya sekali.

Tapi bila zaman kami naik keretapi sudah berlalu, saya sudah tidak dengar apa-apa lagi mengenai Kantin Stesyen itu.

Hinggalah beberapa tahun kebelakangan ini, trend minum kopi di bistro/café ini menjadi-jadi di kota-kota besar dan saya diberitahu Kluang Station antara yang dikomersialkan, barulah saya teringat semula pada kantin yang pernah kami datang dulu.

Hari ini, saya kembali ke Kantin Stesyen – the original Kluang Station, kelihatan amat tradisional dan tidak banyak berubah.

Barangkali yang berubah, tauke-nya, pelanggan yang semakin ramai dan cawan yang digunakan tidak lagi menggunakan cawan batu.

Lebih menarik lagi, apabila saya melangkah masuk pagi ini, di corong pembesar suara sedang mengumumkan ketibaan keretapi dari Gemas ke Singapura – sangat klasik dan mengimbau kenangan.



Saya meluru ke dalam stesyen dan melihat kesibukan penumpang keretapi, ada yang naik dan ada yang turun. Cepat-capat saya gapai kamera dalam beg dan rakam beberapa keping gambar.




Saya pesan kopi ‘o’ dan roti kaya kukus.

Sayangnya saya tidak boleh berlama di situ, ada mesyuarat di Johor Bahru. Sebelum beredar, saya beli sebungkus kopi yang dipek sendiri pekerja mereka.

p/s: Maaf Kak Mas, lupa nak beli kopi Cap Televisyen. Railcoffe untuk Kak Mas.

20070719

Berpeluh Dalam Hujan


PUNCAK ALAM (Shah Alam), July 18th 2007 (Wed) – Basah lokos[1] akibat peluh kerana menapak dari kaki bukit hingga ke puncak. Lima minit kemudian semua wartawan yang berada di puncak bukit itu lencun, kerana hujan lebat.

Fuh! Cabaran dan dugaan yang harus ditempuhi.

Sebenarnya saya tidak sangka hari ini, Hakim, Datuk Mohamad Zaki Md. Yassin yang mengendalikan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu mahu melihat lokasi pembunuhan tersebut.
Saya bergegas terus ke lokasi yang dimaksukan. Ironinya, pada hari ini saya berpakaian lebih kemas dari biasa kerana saya ada mesyuarat dengan persatuan pada sebelah petang.
Sebaik tiba di kaki bukit tersebut, kereta comel saya yang sentiasa bersih itu sudah termasuk ke dalam selut, nasib baik ia mudah dikeluarkan meskipun banyak lumpur terpalit di badan kereta.
Kerana sayang dan kesiankan si comel itu, saya mengambil keputusan berjalan kaki sahaja ke puncak bukit, lokasi dimana Altantuya dikatakan diletupkan.

Bagaikan satu pesta di atas puncak bukit yang agak tersorok itu. Berpuluh-puluh wartawan, jurugambar dan jurukamera sudah bersedia sejak pukul 1 tengahari lagi untuk merakamkan peristiwa itu.

Belum pun sempat peluh kering, hujan turun mencurah-curah. Kelam-kabut kami mencari tempat berlindung. Celah belukar – bawah pokok jadi pilihan saya.

Menyedari itu bukan keputusan bijak, kami pakat-pakat berlari mendapatkan kenderaan masing-masing yang diletakan jauh di kaki bukit tersebut.

Habis, kasut dan seluar berselut.

Kerana tiada pilihan lain, saya kemudiannya paksa kereta saya yang comel itu mendaki puncak bukit.
Hakim, barisan Timbalan Pendakwa Raya, peguam bela, dan ketiga-tiga tertuduh yang didakwa, tiba pada pukul 3.10 petang.
Hujan yang mencurah-curah itu tidak menghalang kami dari menjalankan tugas.

p/s: habis assignment itu, saya rasa diri ini comot sangat, jadi jangan haraplah saya pergi mesyuarat persatuan.

[1] Lokos – basah kuyup, dripping wet

20070718

Rubbish!

PETALING JAYA, July 14th, 2007 (Saturday)“Stop talking rubbish! Imagination you liar sangat!”

Itu kata-kata yang saya terima daripada pihak yang sewajarnya menerima pendedahan yang saya buat itu dengan rasa syukur.

Namun, saya tetap senyum – senyum puas! Kerana saya tahu semua pendedahan yang saya buat itu berasas, cuma pihak yang sebenarnya menjadi mangsa itu tidak dapat menerima keadaan.

Hampir sebulan sejak 06/06/07 saya bekerja keras untuk mendapatkan maklumat lengkap, siapa sebenarnya terlibat? bagaimana perkara itu boleh berlaku? sejauh mana ia boleh pergi? siapa tipu siapa? dan siapa jadi mangsa -- semua persoalan ini perlu dijawab dan kerana itu saya tidak cukup tidur untuk membuat penyelidikan sendiri.
Barangkali saya hanya seorang wartawan ‘cabuk’, bagaimanapun sebagai wartawan kami tetap membuat penelitian, penilaian, penyiasatan (kalau tidak keterlaluan) dan pendedahan untuk kebaikan bersama.
Terima kasih kepada sumber-sumber di Bukit Aman dan pihak-pihak lain yang membantu mengumpul semua maklumat pencarian saya itu. Ada baiknya juga jadi wartawan, ada contact ada access.
Selepas mengumpul semua maklumat itu, saya rasa inilah harinya pendedahan dibuat -- walaupun pendedahan yang saya buat itu dianggap rubbish, namun saya tetap menarik nafas lega dan laugh out loud.

p/s: Apa lagi yang boleh saya lakukan, jika pendedahan yang dibuat tidak boleh diterima oleh pihak yang menjadi mangsa itu sendiri?

20070707

Bumi Baghdad 2001 (Bhg. 1)

BAGHDAD, June 12th 2001, – Sekitar tengah malam, kalau tidak silap lebih kurang 12.30 tengah malam. Sebaik keluar dari perut pesawat udara cukup bahang dirasa.

Pertama kali saya menjejakkan kaki ke bumi Iraq – negara yang penuh dengan cerita gemilangnya pada suatu zaman dahulu, tapi kini penuh dengan cerita duka rakyatnya.

Perjalanan lebih 8 jam dari Kuala Lumpur bagai tidak memberi kesan apa-apa apabila dapat menghirup udara sama yang pernah dihirup para nabi. Bangga dan bersyukur sangat, akhirnya saya dapat berpijak di bumi yang sedang dalam kancah peperangan itu.

Bangga kerana bukan semua orang dapat memasuki negara yang sedang di sekat ekonominya oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan bersyukur kerana dapat juga saya melihat sendiri negara yang selalu disebut-sebut dalam buku sejarah dunia itu.

Waktu itu saya bertugas sebagai wartawan di sebuah stesyen televisyen kerajaan. Apabila dimaklumkan mengenai tugasan itu oleh Pengarah Berita dan Ehwal Semasa, Mohamad Md. Hussin, saya spontan bersetuju.

“Tak takut ke? Negara itu masih belum aman, macam-macam boleh berlaku,” kata Mohamad.

“Encik Mat, saya percaya ajal semua di tangan Dia, kalau kita nak mati, di mana-mana pun kita boleh mati,” jawab saya.

Atas prinsip itu saya dilepaskan pergi membuat tugasan bantuan kemanusian yang diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Jujur saya katakana pada waktu itu saya tidak fikir langsung soal keselamatan, yang pastinya saya cukup teruja untuk melihat Iraq dari perspketif sendiri.

Untuk menjadi wartawan, keberanian dan semangat seperti itu perlu ada, tapi bukan berani membabi buta.


(bersambung…)

Langkah Pertama, Berlari dan Tersungkur


PETALING JAYA, July 7th, 2007 (Saturday) – Setiap perjalanan pastinya dimulakan dengan langkah pertama. Namun tidak semua orang masih ingat bagaimana dia memulakan langkah pertama itu.

Bagi saya, setiap langkah pertama harus diingat dan dikenang selamanya kerana untuk memulakan langkah pertama, ia perlukan satu keputusan tepat. Dari langkah pertama itulah ia akan menentukan hala tuju kita seterusnya.

Masakan kita boleh lupa, detik pertama kita melihat orang yang kita minat dan kita terus jatuh cinta, dari situ kita tahu yang dialah orangnya yang akan bersama kita sepanjang hayat, dan tindakan pertama kita mencari alasan berkenalan dengan orang yang dimaksudkan , itulah langkah pertama kita.

Seperti saya, langkah pertama yang saya gerakkan untuk menjadi wartawan ialah dengan mengikuti Kursus Penataran Kewartawan di Klang, anjuran Berita Harian Sendirian Berhad sekitar tahun 1996.

Waktu itu, saya berada dalam tingkatan enam.

Kerana tidak mahu melepaskan peluang mengikuti kursus itu, saya tipu penjaga saya dengan memberitahu mereka yang saya dipilih pihak sekolah untuk menyertai kursus tersebut. Pada hal ia tiada kena-mengena langsung.

Rasa bersalah dan kelakar pun ada bila fikirkan semula. Tanpa syak, dari Kulai ke Klang mereka menghantar saya untuk mengikuti kursus itu.

Tapi itulah yang dikatakan, tindakan saya itu menentukan seterusnya perjalanan hidup saya.

Saya percaya, hari ini mereka pasti berbangga atas apa yang pernah saya lakukan itu.

Jadi, sekiranya anda ada cita-cita, beranikanlah diri untuk mengorak langkah yang pertama. Tanpa melangkah kita tidak akan pernah tahu nikmatnya berlari dan kita juga tidak akan punya pengalaman untuk menceritakan bagaimana sakitnya apa yang dinamakan ‘jatuh tersungkur itu.’

P/S: Saya masih ingat, lagu Percayalah nyanyian Siti Nurhaliza menjadi alasan untuk berbual-bual dengan si dia, itulah langkah pertama saya untuk mendekatinya.

20070704

Kerja Vs. Cinta


SHAH ALAM, July 4th, 2007 (Wednesday) -- Sebulan saya tidak menulis di sini, bukan bermakna saya tidak pergi kerja, but something came up in life. Life sometime real hard to handle and its seriously unpredictable.

Sejak 18 Jun lalu saya berulang-alik ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan kes bunuh wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu. Pekerjaan kami sering terdedah dengan berbagai kejutan, selain berita-berita panas dan mengejutkan di mahkamah, hidup kita juga kadang-kadang dikejutkan dengan sesuatu yang bersifat peribadi. Sampaikan ada masanya macam tidak larat nak pergi kerja dan berjumpa dengan ramai orang, tapi apa nak buat itu periuk nasi.

Dulu ustaz saya selalu cakap, pekerjaan itu satu ibadah kalau dilakukan dengan penuh keikhlasan (selain untuk mendapat gaji setiap bulan.) Keluar bekerja juga kadang-kadang membawa kepada banyak faedah sampingan.


Bagi sesetengah orang, sewaktu bekerjalah mereka dapat menambah kenalan dan beroleh peluang-peluang lebih baik untuk kehidupan masa depan.

Malah, ramai juga yang bertemu Mr./Mrs. Right mereka di tempat kerja.

Ada seorang teman bercinta dan bertunang dengan orang lain, tapi bila bertukar kerja, jodoh dia rupanya ada di situ -- di tempat baru. Ada seorang lagi teman yang juga bertemu cinta barunya semasa bekerja.

Jadi tak syak lagi, kadang-kadang jodoh itu ada di mana tempat kita bekerja, kalau kita bekerja di Gombak, maka mungkin kita akan bertemu dengan orang Gombak...

Kalau begitu hipotesisnya, ada kebarangkalian saya akan bertemu cinta di Shah Alam. Mungkin peguam, siapa tahu!