Behind The Scene!

20070830

My Merdeka Eve!

Kuala Lumpur, August 30th, 2007 (Thu) -- Merdeka eve! it's now 10pm, and yet I still in the office.

Sejak pagi kerja terlalu banyak, maklumlah anak buah semua sedang enak bercuti sempena merdeka.

Biasalah, dah namapun buat berita -- berita jenayah sukar dijangka, ada masa kejadian jenayah berlaku serentak, lebih kurang dalam waktu yang sama, ada masa-masanya pula 'kosong' sepanjang hari.

Tapi, kami perlu sentiasa dalam keadaan bersedia.

These are two press conferences held at the same time and I managed to do both coverage, how I did it, don't ask! :

1.
Intro:


Kaut untung berlipat ganda dengan jual kereta mewah lari cukai.

Cawangan Siasatan Khas Kastam merampas 28 buah kereta mewah terpakai pelbagai jenis dari sebuah permis di Jalan Tun Razak, ibu negara.

Pemilik syarikat itu selaku Pengarah Urusannya turut ditahan.

Narration:
Timbalan Ketua Pengarah Pencegahan Kastam, Datuk Mardina Alwi berkata, serbuan dilakukan Selasa lalu hasil maklumat risikan kastam antarabangsa.

Pemeriksaan mendapati semua kereta mewah yang dibawa masuk dari Jepun secara haram.



Hasil maklumat, kenderaan itu dipercayai dibawa keluar dari Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Kelang, sebelum dipamerkan untuk jualan di premis terbabit.




Pihak kastam menganggarkan semua kenderaan itu bernilai 800 ribu ringgit dan cukai terlibat 1.4 juta ringgit.

Bagaimanapun, menurut sumber, harga pasaran semua kenderaan itu dianggarkan cecah 7 juta ringgit.



Kes ini disiasat mengikut seksyen 135 kurungan satu kurungan D, Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan denda tidak kurang 10 kali ganda cukai atau penjara tidak lebih tiga tahun.

(**ends**)

2.
Intro:

Ekori kereta mangsa, langgar belakang, kemudian samun dan bawa lari kereta.

Itu Modus Operandi Geng Saravanan yang dipercaya menjalankan kegiatan itu sejak Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, sejak awal bulan ini hingga semalam, 14 anggota kumpulan itu sudah diberkas di beberapa kawasan di sekitar Selangor dan Johor serta menemukan 25 buah kereta yang dicuri.

Narration:
Semua 14 lelaki itu berusia antara 22 dan 48 tahun -- dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau, iaitu rogol dan samun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Dua Ku Chin Wah berkata, selain langgar kenderaan dari belakang, ada juga kes mangsa disamun di depan rumah ketika membuka pintu pagar dan kenderaan mereka turut dilarikan.

Selepas menyamun dan melarikan kereta mangsa, kereta itu dibawa ke Johor untuk diubahsuai dan membuat dokumen palsu sebelum menjualnya semula kepada syarikat kereta terpakai.

Dalam setiap kereta yang ditemui itu, polis turut menjumpai parang, alat pecah kereta dan rumah, topeng dan kunci gantian.

Polis kini memburu dua lagi kumpulan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Geng Saravanan.

(**ends**)

Selepas siapakan dua berita itu, saya ke KLIA pula untuk membuat liputan anggota polis kita yang berkhidmat di bawah panji PBB, pulang dari Timor Leste.

Penatnya kerja!

20070829

SILAP! -- Jangan Biarkan Lebah Itu Sengat Kita

KUALA LUMPUR, August 29th, 2007 (Wed)Setiap manusia melakukan kesilapan, dan selagi kita bernama manusia, selagi itu kita akan tetap melakukan kesilapan.

Namun, jangan sampai kita melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang kali.
Kata orang, kita belajar dari setiap kesilapan yang kita lakukan.
Tapi bagaimana pula halnya dengan orang yang tidak pernah serik dengan kesilapan yang dilakukan?

Sepanjang bertugas sebagai wartawan, saya berjumpa dengan bermacam-macam jenis orang.

Ada berbagai-bagai jenis wajah mereka yang sering berurusan dengan pihak polis, mahkamah dan pihak berkuasa lain.

Kalau saya perhatikan di mahkamah, wajah-wajah Orang Kena Tuduh (OKT) -- ada yang tutup muka, ada yang senyum mengadap kamera, tidak kurang pula wajah tanpa perasaan.
Yang tutup muka barang kali malu atas perbuatan yang pernah mereka lakukan, meski hukuman belum dijatuhkan.

Yang tersenyum-senyum depan kamera pula barangkali nak cari publisiti murah, atau cara mereka menenangkan fikiran yang sedang berhadapan dengan pertuduhan.

Manakala, bagi OKT yang tiada ekspresi wajah pula, mungkin sedang berlagak biasa dan mengawal diri seperti tiada apa-apa berlaku.
Walauapapun reaksi wajah mereka, adakah secalit rasa penyesalan?
Kadang-kadang kesalahan itu dilakukan kerana terdesak, didesak atau juga itulah pertama kali dia mencuba-cuba melakukan perbuatan salah itu, tup-tup kena cekup.
Jadi, sebelum kita membuat sebarang keputusan fikirlah sedalam-dalamnya.
P/S: Teringat kata-kata Ustaz saya, jangan biarkan lebah yang sama menyengat kita di tempat yang sama untuk kali kedua.
Bersambung…

20070824

Aku, Anuar Zain dan Lelaki Ini


KUALA LUMPUR, August, 23rd 2007 -- Selepas 5 tahun menyepi diri dari menghasilkan album, Anuar Zain kembali dengan album yang disifatkan penyanyi itu sebagai album penuh emosi.

Menurut penyanyi yang pernah popular dengan lagu Bila Resah itu, album solo ketiganya ini dihasilkan hingga menitis air mata darah.

Meski berseloroh ketika membuat kenyataan itu, namun saya percaya ia benar-benar memberi tekanan kepadanya untuk album yang diberi judul ‘Anuar Zain’ itu.


Kata Anuar, kos album barunya ini, empat kali ganda album sebelum ini.

Punca ia mahal, menurutnya sebab banyak sangat re-do.

Enam lagu dihasilkan komposer Indonesia dan hanya tiga lagu dari komposer tempatan.

Jelas, menurut saya album ini seakan album artis seberang, cuma dinyanyikan oleh artis tempatan Anuar Zain.

Justeru, lebih separuh tenaga kerja album ini bukan dihasilkan anak tempatan, sekaligus menafikan haknya untuk dipertandingkan dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) akan datang.


Ini komen Anuar:

“Album ini dihasilkan untuk kepuasan diri dan pendengar. Kepuasan kepada pendengar adalah segalanya daripada segala awards yang ada di dunia ini.” – Sambil diikuti tepukan gemuruh wartawan-wartawan hiburan yang menghadiri majlis pra-dengar album itu.

Selesai mendengar 10 lagu dari album itu, secara peribadi saya sukakan hampir kesemua lagu-lagunya, pada saya ia ada jiwa.

Saya percaya, selain lagu Lelaki Ini yang sering diputarkan di radio, orang ramai tentu sukakan juga lagu I’m The Lucky One dan Teman Terulung.

Wartawan Jenayah di Majlis Pra-dengar Album

KUALA LUMPUR, August 23rd 2007, – Melaksanakan segala macam tugasan atau assignment merupakan satu kepuasan sebagai seorang yang bergelar wartawan. Dari perihal politik hingga masalah ekonomi negara, dari kejadian jenayah hingga dunia hiburan. Semuanya perlu dibuat liputan.

Saya masih ingat, sepanjang kerjaya saya sebagai wartawan saya hanya pernah ditempatkan dibeberapa meja sahaja secara tetap.

Semasa bertugas di TV kerajaan, saya mengetuai Meja Alam Sekitar dan Kerajaan Tempatan, sebelum itu saya pernah ditugaskan di Meja Khas bagi menghasilkan berbagai macam laporan khas dan analisis berita.

Ketika berkhidmat di stesyen radio swasta pertama negara – Best104 di Johor Bahru, saya ditugaskan di bahagian Berita Semasa.

Tugas sekarang di sebuah agensi berita ternama ialah mengetuai Meja Jenayah dan Keselamatan.

Bila difikir-fikirkan semula, sepanjang 11 tahun bertugas sebagai wartawan, saya belum pernah ditempatkan di Meja Hiburan atau Meja Sukan.

Waktu mula-mula bekerja dulu adalah sekali dua membuat liputan berita hiburan dan sukan, -- bukan tak pernah langsung, cuma tidak pernah ditempatkan secara tetap.

Lagipun, kalau diarah bertugas di kedua-dua meja itu, tentu sekali saya tolak (itu pun kalau boleh ditolak) kerana tidak minat. Tapi saya percaya pada diri dan bersikap lebih professional kalau sudah tugas, saya akan tetap laksanakan.

Memandangkan saya tidak pernah membuat liputan press conference (PC) atau sidang media artis dan pra-dengar albumnya, maka hari ini, saya buat keputusan untuk mengikut seorang wartawan hiburan di tempat saya bertugas dan bersama-sama ke majlis PC dan pra-dengar album Anuar Zain di ibu negara.

Ada juga beberapa teman wartawan dari organisasi lain yang terpinga-pinga bila melihat kelibat saya.

“Eh, ada isu jenayah ke kat sini?” kata Farihad dari Berita Harian.

“Kau kena tukar meja hiburan ke?” tanya Tengku Suzana pula dari Kosmo!.

Semua pertanyaan itu saya jawab secara berseloroh.

“Ya, aku ada soalan maut untuk Anuar Zain, haha.”

20070820

Kuchingku Kaku!

Waterfront, (Kuching, Sarawak) 18th Ogos, 2007 -- Kali pertama dan terakhir menjejakkan kaki ke pinggir sungai Sarawak yang berliku-liku ini ialah sekitar 7 tahun lalu. Waktu itu, masa banyak dihabiskan untuk bekerja--membuat penggambaran Selamat Pagi Malaysia (RTM), tapi hari ini saya kembali ke negeri itu lebih untuk merealisasikan impian orang-orang yang belum pernah ke Kuching.


Kuching pada saya, tidak banyak berubah, selain lapangan terbangnya yang sudah dinaiktaraf dan beberapa jejantas atau by-pass merentasi bandaraya itu, saya tidak dapat melihat apa-apa mercu tanda baru lain yang boleh mengaitkan bumi kenyalang itu sedang menuju ke arah sebuah negeri maju.

Monumen kucingnya masih di situ, membatu di tengah-tengah bandaraya itu.

Waterfrontnya juga masih menjalankan aktiviti-aktiviti sama, bazar di seberang jalannya juga masih begitu menjual produk-produk kraf yang pernah saya lihat dulu.

Kalau dulu di bazar seberang jalan inilah saya beli kain puah dan kayu pemindangnya, tapi kali ini, saya tidak berminat untuk membeli sebarang jenis perhiasan -- boleh jadi, konsep rumah saya kini tidak lagi sama dengan konsep etnik seperti itu.



Dua kali saya mudik ke seberang sungai, ke perkampungan Melayu, bayaran yang dikenakan penambangnya juga masih sama, 30 sen dan 50 sen bagi menyeberang ke tempat yang lebih jauh.

Suasana kerja-kerja menaiktaraf tempat-tempat awam ketika negara sedang menyambut Tahun Melawat Malasyia 2007, bukan lagi asing, ia sering diperkata di dalam akhbar terutama di tempat-tempat tumpuan pelancong.

Di sini, perkara sama juga saya lihat. Di Muzium Kucing misalnya, walaupun ia hanya melibatkan kerja-kerja pembaikan kecil, namun ia masih mengganggu urusan pelancong yang keluar masuk ke muzium itu.

Menyentuh mengenai urusan pelancong, perkara ini amat perlu saya kemukakan, soal tanda jalan atau penunjuk arah.

Boleh saya katakan, hampir tiada tanda jalan yang jelas bagi menunjuk arah ke sesuatu destinasi. Bagi saya yang pertama kali memandu di Kuching, amat memerlukan penunjuk arah itu -- ketiadaan papan tanda yang jelas ini membuatkan saya berfikir, seolah-olah saya sedang memandu di sebuah kampung yang penduduknya sudah pasti tahu ke mana destinasi mereka. Namun ia cukup tidak adil bagi mereka yang bukan orang tempatan.

Yang jelas, sesuatu perlu dilakukan bagi sebuah negeri berstatus bandaraya ini untuk terus maju.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke-50!

20070808

Kopi Kluang dan Kantin Stesyen -Bahagian 2

KLUANG, July 29th, 2007 – Kalau minggu lalu saya singgah ke Bandar ini dalam perjalanan ke Johor Bahru atas urusan tugas, tapi hari ini saya kembali lagi semata-mata mahu memenuhi tuntutan keluarga.

Sekadar meluang masa bersama keluarga, berkumpul sambil berbual-bual dan makan bersama.

Tengah hari itu, kami makan ‘mee rebus tulang’ di Hutan Bandar, Johor Bahru, kira-kira 80km dari sini.

Mee Rebus Tulang adalah antara menu istimewa yang saya gemari di bandaraya itu. Mungkin di lain masa saya akan cerita mengenai Mee Rebus Tulang, tapi hari ini biar saya habiskan cerita mengenai kopi Kluang.

Destinasi kami seterusnya selepas makan tengah hari itu ialah ke sebuah dusun untuk menyemarakkan kempen ‘Makan Buah-buahan Tempatan’ seperti yang dilaungkan kerajaan.

Saya tidak minat sangat makan durian, tapi kalau dah ada depan mata, makanlah juga.

Lepas makan durian kami terus ke Kluang untuk mencuba menu di cawangan baru Kantin Stesyen yang terletak di tengah-tengah bandar ini yang dikenali sebagai KLUANG RailCoffee.

Nampaknya perniagaan mereka semakin maju, setelah membuka cawangan di Kompleks Kotaraya di Johor Bahru beberapa tahun lalu, kini mereka membuka satu lagi cawangan baru di sini.

Dari luar kelihatan saling tidak tumpah seperti di Stesyen Keretapi Kluang, tapi ia sebenarnya dibina dalam premis rumah kedai.



Hasil siasatan saya mendapati, KLUANG RailCoffee dengan KLUANG STATION adalah dua entiti yang berlainan.

Kantin Stesyen dan Kluang RailCoffee dimiliki tauke yang sama dikenali sebagai Ah Chang, sementara KLUANG STATION yang banyak cawangannya di Lembah Klang dimiliki anak saudara Ah Chang.

Bagaimanapun menurut Ah Chang, mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dalam soal pengurusan perniagaan itu, malah kopi yang digunakannya juga tidak sama.
Kaya yang digunakan barangkali masih mempunyai rasa yang sama, kerana ia turun-temurun dari nenek dan datuk Ah Chang yang sudahpun memulakan perniagaan kedai kopi di Stesyen Keretapi Kluang itu hampir 70 tahun lalu.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, Kantin Stesyen itu pernah dikendalikan oleh sepupu Ah Chang yang sudah memeluk agama Islam sebelum diambil alih Ah Chang beberapa tahun lalu.

Sekain, laporan Kifli Bujang untuk Behind the Scene!