Behind The Scene!

20071019

Di Sebalik Tabir Malam Raya

KUALA LUMPUR, October 12th, 2007 (Fri) -- Bertugas pada malam raya sudah menjadi kebiasaan, malah ada ketikanya saya sendiri yang akan memastikan jadual bertugas saya direncana begitu, agar dapat bertugas pada malam raya.

Alasanya, saya tidak mahu berebut-rebut seperti orang kebanyakan lain yang akan berpusu pulang ke kampung masing-masing, saya lebih selesa memandu selepas tengah malam menjelangnya pagi Syawal untuk pulang ke kampung.


Jadi, pada tahun ini, ketika bertugas saya mengenakan pakaian raya yang ditaja oleh Sali Collection, terima kasih kepada Salikin Sidek kerana menaja pakaian tersebut.

Tapi jangan terperanjat, gambar di atas adalah apa yang anda boleh dilihat di televisyen, hakikat sebenarnya, pakaian raya saya pada malam tersebut adalah seperti gambar di bawah.

20071012

SALAM LEBARAN

PETALING JAYA, October 12th, 2007 (Fri) -- Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog Behind the Scene! Moga lebaran tahun ini lebih bererti.
Mohon maaf sekiranya ada artikel-artikel di dalam blog ini yang menyinggung mana-mana pihak.
Kepada pengguna jalanraya, ambil langkah lebih berhati-hati, jangan pentingkan diri sendiri, bertimbang rasalah, anda mampu mengubahnya!

20071011

Mayat Nurin Naik Motor

BUKIT AMAN (Kuala Lumpur), October 11th, 2007 (Thu) -- Siasatan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun, masih belum selesai.

Sekali lagi kami dipanggil ke Bukit Aman untuk menyaksikan sendiri rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang sudah ditingkatkan mutu imejnya di makmal forensik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk membantu mengesan individu disebalik kekejaman itu.

Terdapat dua segmen dalam rakaman CCTV itu.


Segmen pertama dirakam pada pukul 1 tengahari, 16 September 2007 di kaki lima, deretan rumah kedai, N0. 31, Jalan PJS 1/48 Petaling Jaya Utama.

Rakaman imej ini menunjukkan seorang lelaki membawa beg sukan jenama Diadora berwarna biru-hitam dengan sebuah motosikal Kriss Modenas.

Sebaik tiba di lokasi berkenaan, lelaki itu membuat panggilan telefon, sambil berbual di telefon dia kelihatan mundar-mandir di hadapan kedai berkenaan.

Lelaki itu kemudiannya meninggalkan beg yang berisi mayat Nurin Jazlin di tepi tangga kedai berkenaan dan berlalu.

Ia berlaku dalam tempoh 2 minit.

Sementara dalam segmen kedua, kelihatan kelibat seorang wanita berbaju merah berlegar-legar di hadapan kedai berkenaan, kira-kira sejam selepas lelaki itu meninggalkan beg tersebut.

Tidak lama selepas itu sebuah kereta Perodua Kenari menghampiri. Seorang lelaki keluar dan berbual-bual dengan wanita tersebut sebelum semua mereka termasuk wanita itu meninggalkan tempat tersebut.


Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai imej-imej yang dirakam dalam CCTV ini atau mengenali mana-mana individu yang dilihat, sila berhubung dengan RAKAN COP di talian: 03-2115 9999.

20071003

Wanted and Unwanted! (edited)

BUKIT AMAN (Kuala Lumpur), October 2nd, 2007 (Tue) -- Hari ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan, Datuk Christopher Wan Soo Kee memanggil semua media untuk diberi taklimat khas berhubung perkembangan kes Nurin Jazlin Jazimin.

Selepas membebaskan empat lelaki yang ditahan sebelum ini kerana dikatakan tiada kaitan dalam kes ini, kini polis sedang mengesan dua lagi suspek baru. Mereka adalah seperti photo-fit yang diedarkan pihak polis:



ORANG YANG DIKEHENDAKI / WANTED

Berumur lingkungan 35-40 tahun, ketinggian 168cm, dia dikatakan mencari bilik sewa di sekitar Bangsar untuk dirinya dan anak perempuannya. Dia dipercayai beberapa dilihat di kawasan Bangsar semasa Nurin dilaporkan hilang. Polis percaya lelaki ini boleh membantu siasatan mereka.


ORANG YANG DIKEHENDAKI / WANTED

Berumur 20an, ketinggian 153cm, rambut lurus paras bahu, imejnya dikesan di dalam rakaman CCTV yang diperolehi di kawasan berhampiran mayat Nurin ditemui di Petaling Jaya Utama pada petang Ahad 16 September 2007 lalu. Ketika itu dia memakai baju merah berseluar jeans dan berada berhampiran beg sukan berjenama Diadora yang memuatkan mayat Nurin.




Kepada semua bloggers dan pembaca blog, sekiranya ada mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua suspek ini, sila hubungi ASP Low Pei Pei di talian 019-3577 008.

20071002

Baca Berita atau Baca Meter?


PETALING JAYA, September 18th, 2007 (TUE) – Seperti yang pernah saya bincangkan pada awal-awal blog ini (rujuk arkib Mei 2007) tugas sebagai wartawan sering diperhatikan, lebih-lebih lagi wartawan penyiaran yang sering muncul di kaca televisyen.

Ada yang mengimpikan tugas ini seperti Amy Mastura dalam filem Puteri Impian dan ada yang memandang rendah pada kerjaya kami seperti isteri Abdul Razak Baginda yang sering memaki-hamun wartawan.

Ada juga yang menganggap tugas ini glamor, tapi pada saya tidak ada apa yang glamornya, sama seperti kerja seorang pembaca meter elektrik.

Berjalan dari rumah ke rumah, membaca meter, mencatatnya dalam bil, membuat sedikit kira-kira dan menyerahkannya kepada penghuni rumah – bagi penghuni yang menerima bil yang rendah berasa lapang dada, tapi bagi mereka yang menerima bil melambung tinggi, tentu sekali rasa macam mahu cekik di pembaca meter itu.

Samalah dengan tugas kami, ke mana saja demi mencari berita, menulisnya semula dalam bentuk laporan berita disamping membuat sedikit semakan, dan menyiarkannya dalam akhbar atau televisyen – bagi yang sukakan laporan itu tentu sekali senyum, manakala bagi mereka yang rasa tidak senang dengan laporan berita itu, tentu rasa seperti nak bakar suratkhabar tersebut atau menampar muka si pembaca berita.

Jelas, tugas saya samalah seperti pembaca meter, tapi saya bukan pembaca meter biasa yang menyerahkan bil kepada penghuninya, sebagai pembaca meter elektronik, saya akan beritahu anda sendiri berapakah jumlah yang perlu dibayar.

Untuk mengetahui berapakah jumlah bil anda, tontonlah saluran Astro Ria, setiap hari 8.30 malam.