Behind The Scene!

20071123

Bukan Curi Tulang Tapi Curi Baca


Kuala Lumpur, Nov 22nd, 2007 (Thu) -- Tugasan saya hari ini ialah menghadiri sidang media (PC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) di Jalan Hang Tuah.

Sampai di sana, saya dimaklumkan, PC yang sepatutnya berlangsung pukul 12 tengha hari di tunda ke pukul 2.30 petang, kerana Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulhasnan Najib Baharudin akan membuat kenyataan akhbar itu sendiri.

Dalam hati saya berteriak yahoo! kerana saya ada masa 2 jam setengah untuk dihabiskan.

Apa nak buat? Takkan saya nak balik ke pejabat semula dan kembali lagi ke IPK?

Saya buat keputusan untuk berfoya-foya dan berpeleseran di Berjaya Time Square (BTS) yang terletak tidak jauh dari situ.

Kalau ke BTS, destinasi utama hanyalah ke Borders -- kedai buku kegemaran saya.




Sebagai wartawan kita kena rajin membaca, dan untuk membaca tidak semestinya kita membeli. Tapi kalau mampu membeli itu adalah lebih baik, jika tidak, cukuplah sekadar meminjamnya di perpustakaan atau lebih teruk lagi mencuri-curi baca seperti yang saya lakukan hari ini.

Terus terang saya katakan yang saya suka baca, tapi kadang-kadang masa sangat tidak memihak kepada minat itu.

Saya suka baca buku yang menceritakan kisah benar, tentang kehidupan seseorang, cerita tentang kejayaan mereka dan pengalaman mereka. Pada saya dengan membaca cerita-cerita sedemikian secara tidak langsung ia memotivasikan diri sendiri.

Tapi, hari ini saya tidak baca buku biografi seperti itu (manalah sempat masa dua jam untuk baca buku tentang itu) jadi saya pilih buku astrologi -- ia antara bidang yang saya minat untuk membacanya.

Walaupun sekadar menyelak dua tiga muka surat tetapi ia tetap memberi sedikit input.

Selain membelek beberapa buah buku, masa terluang itu juga dihabiskan dengan melihat gelagat manusia. Ada yang tertidur di kerusi sambil memang buku, ada yang berbual-bual tentang janji temunya dengan seseorang (bukan niat untuk curi dengar tapi perbualan mereka sangat kuat), ada juga yang duduk di kerusi membaca secara percuma dan curi-curi mengambil gambar (sayalah itu).

Cukup masa, angkat buntut dan berlalu tanpa membeli satu pun buku -- alasan masih banyak buku di rumah yang belum habis dibaca.

Selain Biografi, Travel adalah seksyen kegemaran saya juga jika singgah di kedai buku.

20071116

Surat Terbuka Untuk Pembaca Jelita


16 November 2007


Salam,


Kehadapan pembaca-pemabaca majalah Jelita keluaran November 2007.


Saya belum pernah menulis surat secara terbuka begini, inilah pertama kali saya melakukannya.


Surat ini ditulis sekadar untuk memberi penjelasan berhubung kenyataan yang dikeluarkan majalah tersebut mengenai diri saya.


Sejak ia dikeluarkan, ramai yang menghubungi saya bertanya sejauh mana benarnya pendapatan saya seperti yang dinyatakan dalam majalah tersebut? sebenarnya soal gaji ia terlalu peribadi untuk dijawab, justeru, anggaplah kenyataan majalah itu bersandarkan andaian.


Bagaimanapun, saya amat berterima kasih kepada editor majalah tersebut kerana mengenengahkan artikel mengenai bidang dan kerjaya kami di dalam majalahnya.


Yang benar,

Zulkifli Bujang

Petaling Jaya

Artikel yang disiarkan majalah tersebut.

20071113

Oh Malaysiaku!

Kuala Lumpur, October 10th, 2007 (Sat) – Malaysia huru-hara! Porak-peranda! Malaysia kini dalam kancah politik yang tidak stabil hingga mengheret negara itu dalam keadaan tidak aman – ini antara persepsi masyarakat luar hari ini terhadap negara kita.

Ia berikutan berlakunya perhimpunan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang turut disertai parti politik pembangkang di ibu negara menuntut satu pilihanraya bersih diadakan.

Benar, pada hari ini berlakunya satu perhimpunan yang dipanggil Gelombang Kuning yang digerakkan gabungan NGO dan parti pembangkang yang menamakan diri mereka BERSIH!



Tapi, hakikatnya, negara tidaklah kacau-bilau seperti yang media luar gambarkan, itu hanya propaganda mereka dan melaporkan perkara kurang tepat.

Hanya beberapa das gas pemedih mata dilepaskan dan pancutan air oleh Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyuraikan mereka yang berkumpul, itu sahaja.

Media arus perdana tempatan juga lebih berselindung dalam melaporkan kejadian itu, yang mana saya faham alasannya – tidak mahu menimbulkan panik di kalangan rakyat dan tidak mahu memburukkan lagi keadaan.

Sebagai wartawan yang membuat liputan kejadian itu, saya melihat dengan mata kepala sendiri apa yang berlaku, dan ini antara fakta yang saya ada;

Orang ramai mula berkumpul di beberapa lokasi di sekitar ibu negara seperti Jalan Tun Perak, Masjid Jamek dan Masjid Negara seawal pukul 1 petang, meskipun perhimpunan itu dijadual berlangsung pukul 3 petang.

Pihak polis mengadakan sekatan jalan-jalan utama masuk ke ibu negara sejak pagi lagi, saya sendiri tersekat dalam kesesakkan itu lebih sejam dan bertekak dengan beberapa polis trafik.



Alasan “Saya wartawan dari media rasmi kerajaan dan sedang bertugas,” rupa-rupanya tidak laku dalam keadaan tegang seperti itu.

Selepas mengharung 3 sekatan jalanraya, akhirnya saya berjaya meloloskan diri dengan memandu kereta sendiri ke perkarangan Masjid Negara.

Ketika itu hujan lebat.

Di sekitar Masjid Jamek, pihak polis sebenarnya sudah cukup berlembut dengan kumpulan tersebut, mengarahkan mereka beredar dan jangan berkumpul, tetapi arahan itu tidak diedahkan. Selepas amaran diberi, gas pemedih mata dilepaskan.

Lari lintang-pukang semua.

Satu perkara yang patut saya akui, pengikut-pengikut perhimpunan itu berdisiplin.



Kalau media arus perdana melaporkan, 4,000 orang menyertai perhimpunan, itu tidak benar, daripada pemerhatian saya, lebih 40,000 orang sebenarnya dan kamera saya tidak tipu.


Tapi, janganlah menuduh wartawan atau media arus perdana ini menipu rakyat, mereka menjalankan tugas dan saya percaya, mereka juga ada tanggungjawab memastikan negara ini terus aman.

Kalau zaman sebelum merdeka, wartawan dan akhbarlah yang mempengaruhi pemikiran rakyat dan mendidik mereka untuk bangkit menuntut kemerdekaan, tapi hari ini, negara sudah merdeka 50 tahun, dan media jugalah memainkan peranan untuk memastikan negara ini terus dalam keadaan aman dan stabil.

Oleh itu, kalau sekadar jumlah peserta perhimpuan diputar belit, saya percaya ia sekadar tidak mahu menimbulkan panik di kalangan rakyat yang tidak tahu-menahu tentang perkara ini.

Maaf! Ini bukan medan politik, ia cukup sekadar berkongsi pandangan dan pengalaman.

20071110

Saya Dipanggil SB (Special Branch)

Memasukkan fakta baru mengenai SB
PETALING JAYA, November 9th, 2007 (Fri) -- Pagi ini saya terima satu SMS dari ASP Suffian dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, IPK KL. Antara lain SMS itu meminta saya ke pejabatnya kerana Ketua Polis Kuala Lumpur ingin berbincang sesuatu dengan saya.
Terperanjat juga, apa yang tidak kena, kenapa tiba-tiba Datuk Zulhasnan Najib Baharudin nak jumpa? banyak persoalan bermain difikiran. Baru semalam dia buat sidang media, hari ini nak buat lagi?
Pukul 12.10 tengah hari, saya tiba di pintu masuk IPKKL, pengawal tidak benarkan saya masuk, katanya tiada sebarang sidang media hari ini. Pelik! Saya hubungi ASP Suffian semula dan dia mengarahkan pengawal itu benarkan saya masuk.
Sesampai di pejabat ASP Suffian, saya tanya;
"Apa cerita tuan?"
"Masuk pejabat bos saya kejap," katanya ringkas.
Saya pun masuk ke bilik Ketua Jabatan Pengurusan, Tuan Zakaria, turut ada sama, Ketua Cawangan Khas KL atau lebih dikenali sebagai SB iaitu 'special branch' (yang saya tidak pernah jumpa sebelum ini, dan tidak tahupun namanya).
"Saya ada benda nak bincang dengan awak, kita nak minta tolong sikit..." kata Tuan Zakaria, dengar saja perkataan nak minta tolong sikit... perasaan saya lega.
Kami berbincang selama setengah jam, ia berkaitan dengan perancangan pihak tertentu yang ingin mengaturkan satu perhimpunan BERSIH esok di Dataran Merdeka yang tidak mendapat kebenaran polis.
Butir perbincangan saya tidak boleh dedahkan. Tapi percayalah, media juga berperanan untuk memastikan negara terus aman! Kami ada strategi dan kami ada tanggungjawab!
Apa yang mahu saya kongsi di sini ialah pengalaman mengatur strategi dengan pihak SB dan mereka beri saya tip-tip kalau berlaku rusuhan, apa yang perlu dilakukan kalau terkena air yang disimbah oleh pihak FRU atau terkena gas pemedih mata.

20071107

Putra Perdana Yang Sama

Putrajaya, November 1st, 2007 (Thu) -- Barangkali lebih setahun saya tidak menjejakkan kaki ke dalam pejabat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang tersergam di sini.



Semalam, ketika kunjungan Perdana Menteri Korea Utara, Kim Yong Il ke Putra Perdana, saya ditugaskan membuat liputan pertemua dua pemimpin itu.


Memandangkan sudah agak lama tidak memasuki bangunan itu, saya terpinga-pinga sejenak dan mencari-cari di mana lobi tempat Perdana Menteri biasanya menyambut tetamu negara.


Kalaulah rakaman CCTV di bangunan itu mengekori gerak-geri saya, tentu boleh menimbulkan syak kerana saya keluar masuk lif, dari tingkat satu ke tingkat empat, tercari-cari lobi yang dimaksudkan, hinggalah akhir sekali saya keluar di 'rooftop' -- sudah macam cerita-cerita risikan di televisyenlah pulak.



Berjalan dari hujung bangunan ke hujung bangunan, dari pejabat Perdana Menteri hingga pejabat peon saya jengah, nasib baik tidak kena tangkap.

Akhirnya, penyelamat keadaan saya bertembung dengan seorang wartawan Channel News Asia, Singapura. Dia tanya saya;

"Kenapa tak masuk? you tak nak masuk?"

"Oh kejap lagi, saya tengah cari kawan saya," haha ayat 'coverline' yang mampu saya berikan.

Padahal, tempat saya berdiri itu bersebelahan dengan lobi yang dimaksudkan, hanya memasuki satu pintu saja, itulah bak kata pepatah malu bertanya sesat jalan, kan dah sesat dalam pejabat Pak Lah.

Memasuki lobi Putra Perdana, tempat biasanya Perdana Menteri menyambut tetamu negara sama seperti ia mula-mula diduduki oleh Tun Dr. Mahathir Mohammad.

Rekaletaknya masih sama, lukisan-lukisan di dinding juga masih di situ. Paling saya minat, tetap pada lukisan gadis-gadis kampung ini.