Behind The Scene!

20071214

Macam-macam Hal

PETALING JAYA, December 13th, 2007 (Thu) -- Tengah hari, sewaktu memandu ke pejabat, telefon-tangan saya berdering.


Belum sempat saya menyapa helo, si pemanggil terus bercakap tanya henti.


"You! I call you sebab I nak cakap, kalau you jumpa orang MTD, you tanya dia kenapa tak bagi tahu awal-awal highway ke Kuantan takboleh ikut? Ini menyusahkan orang, I ni dah separuh jalan dah, jam sepanjang-panjang jalan, dah berapa jam dah kami kat sini, at least bagitahulah awal-awal masa kita nak bayar tol kat Gombak tu, kita pun boleh fikir nak teruskan perjalanan ke tak, kalau dia bagi tahu siang-siang senang kita cari jalan alternative, kita ni ada banyak urusan, orang lain atas jalan ni semua ada urusan dia orang, mana boleh sesuka hati nak patah balik, sekarang ni bukan tahun 70-an, sekarang tahun 2007, ada walkie-talkie, ada handphone semua, macam tak tahu apa berlaku, jalan ditutup sebab banjir, bagitahulah kita masa nak masuk tol tadi."


"Kak, habis tu yang you call I ni kenapa?"


"You kan reporter, you tulislah orang MTD ni hidup macam zaman 70-an, kita ni dah 2007, kalau you jumpa pegawai MTD atau pengarah-pengarah dia you tanya dia orang kenapa? menyusahkan orang ramai macam ni, kat depan tu banjir kita tak boleh nak jalan, habis nak tunggu berapa jam lagi? nak patah balik pun susah, kalau bagitahu awal-awal masa kat tol Gombak kan senang, kalau malas nak bagitahu pakai mulut, edarkan kertas photostat pun tak apa," marah sangat nampaknya kakak ni.


"Tak apalah Kak, I tengoklah dulu apa yang I boleh buat." Itu saja yang mampu saya kata. Saya matikan panggilan, sambil memandu saya tersenyum!


Saya sendiri tidak tahu apa perasaan saya pada ketika itu selepas kena bebel tanya henti oleh pemanggil tersebut.


Saya tidak ada kena mengena dengan orang-orang MTD, malah arwah bapa saya pun tidak ada sebarang lot saham dalam MTD, seorang kakitangan MTD pun saya tidak kenal.


Hanya signifikannya saya wartawan, patutkah saya dibebel gara-gara dia tersekat dalam kesesakan itu? Adakah itu sebenarnya berita untuk saya laporkan hari ini?


Dalam hati saya kata kepada pemanggil itu...


"Kenapa tak dengar radio berita pertama Malaysia, Radio 24 di frekuansi 93.9fm di Lembah Klang, kerana saya sendiri dengar maklumat mengenai hal tersebut, yang mengatakan beberapa laluan di lebuhraya itu ditutup disebabkan banjir, itulah asyik sangat dengar hiburan di radio, hampir lupa peranan radio menyalurkan maklumat pantas dan semasa."


Itulah tugas sebagai wartawan, macam-macam hal!
Nota: MTD Capital Berhad ialah syarikat konsesi pengendali Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1.

20071207

Hadiah Ulangtahun ke-11

Klik gambar untuk berita sepenuhnya.



KUALA LUMPUR, December 7th, 2007 -- Selepas 11 tahun berkecimpung dalam dunia kewartawanan, setahun di radio, setahun di akhbar dan 9 tahun di televisyen, akhirnya hari ini usaha itu diiktiraf.

Meskipun bukan anugerah yang dikejar selama ini, tetapi setidak-tidaknya ia membakar semangat yang semakin hari semakin hambar.

Pernah saya terfikir beberapa tahun lalu untuk 'bersara' awal kerana tugas ini amat memenatkan, dan saya fikir prospek barangkali ada dalam bidang yang lain, tapi hari ini saya kira ia perlu terus diperjuangkan, setidak-tidaknya untuk beberapa tahun lagi.

Berbekal dengan 2 laporan khas, 'Along Mahu Tolong?' dan 'Dari Timor Leste...' saya dipilih sebagai Wartawan Audio Visual Terbaik 2006 oleh Kementerian Penerangan selepas mereka menganugerahkan saya Wartawan Harapan pada 2001.


Walaupun turut dicalonkan untuk kategori Penyampai Berita Terbaik, namun ia mungkin belum berpihak kepada saya. (Teknik pembacaan kena diperbaikilah tu!)

Terima kasih kepada organisasi sekarang, kerana memberi ruang dan peluang.

20071205

Eksklusif Dari Kandang Tertuduh



SHAH ALAM, December 4th, 2007 (Tue) -- Bangun tidur seperti biasa. Rutin sebaik bangun tidur -- buka komputer riba dan 'online'.

Sindrom malas pergi kerja sering saja dirasai sejak kebelakangan ini. Tapi memandangkan hari ini perbicaraan kes bunuh Altantuya di Mahkamah Tinggi Shah Alam akan mendengar keterangan Pakar Forensik Ballistik, Polis Diraja Malaysia (PDRM) timbul pula minat untuk mengikutinya.

Atas: Altantuya Shaariibuu Bawah: Lokasi dikatakan tempat mangsa diletupkan di satu kawasan bukit di Puncak Alam, Shah Alam.


Bukan kerana terpaksa atas urusan tugas tetapi rasa ingin tahu menggagahkan saya ke Shah Alam.
Memberi keterangan ialah, bekas Ketua Seksyen Penyiasatan Bom dan Letupan, Makmal Forensik Polis Kuala Lumpur, DSP Mohammad Koey Abdullah.


Beliau merupakan pasukan forensik yang mula-mula tiba di tempat kejadian letupan di Puncak Alam, 6 November 2006.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Noorin Badaruddin di mana agak-agaknya bom ditempatkan pada medium (mangsa/Altantuya) semasa ia meletus? -- soalan yang amat saya nanti-nantikan.

Ketika DSP Mohammad Koey menjawab soalan itu, saya tidak pandang ke arah beliau, tapi perhatian saya memfokus kepada tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri yang duduk diam di kandang tertuduh.
Saya mahu lihat reaksi dia ketika saksi itu menjawab soalan DPP.

Saat DSP Mohammad Koey memberitahu yang bom itu mungkin diletakkan di muka, badan dan kaki mangsa, Azilah terus berpaling ke arah saya dan tersenyum.
Saya yang duduk di galeri awam sedikit tersentak, membalas senyumannya dan terus berpura-pura menulis.
"Kenapa mamat ni senyum kat aku pula," rungut saya pada rakan wartawan di sebelah.

Dipercayai tulang belakang mangsa yang ditemui di tempat pengemboman.


Sewaktu mahkamah 'stand down' (berhenti rehat) saya menghampiri Azilah. Itulah kali pertama saya mendekatinya dan mula berbual.

Agak panjang perbualan kami.

Dia bercerita tentang perkembangan ekonomi. Ya saya ulangi perkembangan ekonomi negara. Katanya, zaman pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi barang semua naik harga ini disebabkan gaji kakitangan kerajaan naik, tapi tambahnya, zaman Tun Dr. Mahathir pentadbirannya lebih bagus, berikutan gaji kakitangan awam tidak naik, maka harga barangan di pasaran boleh dikawal.

Itu pendapat yang dilontarkan seorang bernama Azilah yang sedang menghadapi tuduhan membunuh.

Perbualan kami meleret hingga ke perihal harga rokok. Katanya dia berjaya berhenti merokok sejak 2002 kerana harga rokok makin meningkat. Klimiks kepada tabiat merokoknya ialah ketika menjadi Pegawai Penyiasat (IO) dulu.

Dia juga tanpa segan berkongsi cerita tentang tabiat minumnya, menurutnya sebelum kena tangkap tahun lalu, dia masih mempunyai beberapa kad ahli istimewa bagi beberapa kelab terkemuka di sekitar Kuala Lumpur.

Saya sendiri kurang pasti kenapa perlu dia bercerita tentang hal itu kepada saya.

Dia juga berkata kepada saya, kalau dia keluar tentu orang semua takut dengannya.

Dengan nada bergurau saya kata kepadanya, kalau asyik tutup muka, macam mana orang nak kenal, orang pun tidak tahu yang mana satu Azilah.


Cif Inspektor Azilah Hadri yang sentiasa menutup keseluruhan mukanya ketika dibawa ke mahakamah.

Dia senyum.

"Sebenarnya kami ada gambar you, apa kata kalau kami siarkan gambar waktu you tengah kerja dulu," saya cuba menyakatnya.

"Tolonglah, jangan buat macam tu!" dia merayu pada saya. Katanya semua gambar peribadinya di Friendster juga sudah dihapuskan.

Perbualan kami tergantung di situ, loceng dibunyikan, hakim masuk untuk meneruskan prosiding.

20071202

Disember yang Berangin

Petaling Jaya, December 2nd, 2007 (SUN)-- Pejam-celik, pejam-celik kita susahpun masuk ke bulan terakhir dalam kalender masihi 2007.

Seperti tiap-tiap tahun sebelumnya, setiap kali Disember saya pasti sibuk dengan tugasan khas, mengumpul semua berita-berita jenayah yang berlaku sepanjang tahun untuk paparan dalam satu rancangan khas.
Antara berita yang bermain difikiran saya kini, tentunya kejadian menggemparkan negara yang berlaku ke atas seorang kanak-kanak perempuan, sembilan tahun, Nurin Jazlin Jazimin -- dibunuh kejam dengan kesan penderaan seksual.

Nurin Jazlin Jazimin, 9 tahun



Selain itu, perhimpunan haram BERSIH yang dicetuskan sesetengah pihak di ibu negara dan diikuti satu lagi perhimpuan HINDRAF.

Tidak ketinggalan, kejadian kemalangan sebuah bas ekpsress dekat Bukit Gantang, Perak yang meragut nyawa paling ramai serta kejadian menyayat hati menimpa satu keluarga di Kluang, Johor apabila rumah mereka terbakar dan mengorbankan 5 sekeluarga.

Kemalangan bas terburuk mengorbankan 20 penumpang.

Keratan berita tragedi kebakaran yang mengorbankan 5 sekeluarga -- ibu, bapa dan tiga anak.

Semua ini, antara peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam negara kita sepanjang tahun 2007.

p/s: Gambar dalam artikel ini dimuat-turun dari internet.