Behind The Scene!

20080212

Sedih

Petaling Jaya, February 11th, 2008 (Mon) -- Hari ini saya rasa kurang gembira (nak kata sedih sangat tu tidaklah!) selepas membaca dua berita.

Pertama, apabila membaca mengenai Namdeamun atau Gerbang Agung Selatan yang terletak di tengah Bandaraya Seoul, musnah dijilat api, awal pagi ini.

Sumber: BBC

Genap dua minggu lalu, saya ke Namdeamun, menghayati senibinanya, bergambar dan pernah satu ketika saya menjadikan Namdeamun itu sebagai penanda bagi menentukan hala tuju saya semasa bersiar-siar di kota itu seorang diri lewat tengah malam.

Ketika bergambar di hadapan Namdaemun


Gerbang kota berusia lebih 600 tahun itu kelihatan begitu indah dan agam pada sebelah malam.

Ia dianggap sebagai khazanah negara oleh penduduk Korea Selatan dan simbol kebanggaan negara itu.

Gerbang yang dibina pada 1398 itu merupakan pintu pagar utama untuk mengawal kemasukan ke Seoul yang dikelilingi tembok ketika menjadi ibu negara sejak lebih 600 tahun lalu.

Ia turut menjadi pusat kebudayaan dan tarikan pelancong.

Berita kedua yang menyumbang kepada rasa kurang gembira saya ialah mengenai serangan bom ke atas kediaman Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta.

Jose Ramos-Horta

Ketika bertugas di negara termuda di dunia itu beberapa tahun lalu, saya dan beberapa rakan lagi antara wartawan luar yang paling rapat dengan pemimpin yang pernah memenangi Hadiah Nobel Keamanan tersebut.


Penulis bersama Jose Ramos-Horta

Akibat serangan itu, beliau cedera parah di perut dan dada terkena peluru.

Penulis di hadapan pejabat Jose Ramos Horta

Agensi berita AFP yang memetik pengurus besar hospital tentera Australia, Dr. Len Notaras sebagai berkata, kecederaan Ramos-Horta tidak mengancam nyawanya tetapi “kecederaannya amat serius”.

Serangan ke atas Ramos-Horta berlaku kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan apabila dua buah kereta dipandu melepasi rumah Presiden itu di luar Dili.

Presiden Timor Leste itu berada di halaman rumah ketika kejadian dan cuba memasuki rumahnya apabila mendengar tembakan tetapi gagal.

Serangan itu turut mengorbankan ketua pemberontak, Mejor Alfredo Reinado, yang mengetuai serangan itu.

Ketika menemubual Mejor Alfredo Reinado di tempat persembunyiannya

Sebagai wartawan asing ketika bertugas di sana, kami menjadi orang yang paling natural dan perlu berbaik-baik dengan kedua-dua pihak bertelagah. Dalam kata lain, saya juga kenal dengan ketua pemberontak tersebut.

Saya masih ingat, kesempatan yang ada ketika di sana saya gunakan untuk menjejaki Alfredo yang ketika itu sedang bersembunyi di dalam hutan yang jauhnya kira-kira 150 kilometer dari Dili dan mengambil masa 4 jam memandu serta meredah hutan mencari tempat persembunyi bekas tentera negara Timor itu.

Mejor Alfredo Reinado dalam kenangan

Dan, hari ini dia menjadi korban dalam kemelot di negaranya itu.

2 comments:

Xis said...

Kifli
WoWW... you really got to meet both parties back then. Cool! It shocked me the other day to learn that Mr President was shot, and that the goverment had declare a State of Emergency... hmm..

Kifli Bujang said...

I was shocked too and its upset me more coz i knew both of them.