Behind The Scene!

20081130

Edisi Lompat!

Petaling Jaya, November 30th, 2008 (Sun) -- Orang selalu kata, wartawan atau peneraju berita (newsanchor) mesti seorang yang serius, bercakap hal-hal penting, soal ekonomi dan negara -- pendek kata, seseorang yang membosankan.

Tapi percayalah, itu bidang profesional yang diceburi dan ia memerlukan seseorang itu menguasai beberapa perkara dan isu-isu semasa yang jelasnya kelihatan agak serius, namun, ia bukan alasan untuk seseorang itu menjadi 'bosan'.

Pernah seorang kenalan berkata pada saya,

"Tak sangka kamu ni kepala gila, kelakar juga, selalu tengok dalam tv serius je."

"Kelakar ke? adalah sikit, dulu ingat nak pergi audition Raja Lawak, rupanya salah tempat, audition baca berita, habis tu dah dapat, ambil je lah!" jawab saya ringas dengan muka yang toya.

Eksklusif di Behind The Scene! -- gambar-gambar gila yang tidak pernah muncul di mana-mana.

p/s: Demi menjaga privasi individu tertentu, gambar-gambar ini perlu ditanda.

20081125

Bloopers!

Kuala Lumpur, November 24th, 2008 (Mon) -- Pernahkah anda dengar atau terbaca di mana-mana tentang sesuatu yang boleh membuatkan anda tergelak tanpa disekat-sekat, dan ia berulang setiap kali anda membaca atau mendengarnya.

Itu yang berlaku pada saya hari ini.

Saya tergelak sewaktu sedang keudara gara-gara membaca nama orang yang boleh membuatkan saya pecah perut.

Saya sudah tahu, nama dia memang pelik, dan saya minta jasa baik rakan-rakan di galeri studio agar jangan sesiapa pun tergelak atau bersuara ketika saya menyebut nama itu.

Semua akur pada mulanya, namun sebaik saya menyebut nama Speaker Parlimen Thailand, Chai Chidchod -- semua orang gelak! saya apa lagi...turut tergelak. (yah! sangat tidak profesional) tapi tidak boleh nak kawal lagi dah.

Sebelum ini, saya amat berbangga dengan kemampuan saya mengawal emosi sedemikian ketika on-air, tapi apa yang merasuk saya tadi -- sesuatu yang sukar dijelaskan. hahah

Beberapa minggu lalu, insiden sama berlaku -- tapi ia tidak menimpa saya, ia berlaku pada seorang rakan apabila menyebut seseorang yang bernama Al-Bahlul.

p/s: Kenapalah mak-bapak depa ni kasi nama yang pelik-pelik, kesian kat kami yang nak menyebutnya.

20081122

Pencuri! Pencuri! Tolong!


Petaling Jaya, November 22nd, 2008 ( Fri) -- Macam-macam tektik dan teknik dilakukan untuk mencuri hasil usaha orang lain.

Kebelakangan ini, kita dengar bermacam perkara membabitkan kes penipuan, malah terjadi kepada orang-orang yang saya kenal, maka berhati-hatilah selalu.

20081120

YB: Yang Boroi!


Kuala Lumpur, November 20th, 2008 (Thu) -- Ketua Editor Tugasan (Chief Assignment Editor) hubungi saya, katanya Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (TKSU KPDNHEP) mahu jumpa, ada mesyuarat, 10 pagi ini di Parlimen.
Aduh! kenapalah tiba-tiba nak bermesyuarat? di Bangunan Parlimen pula? Sudah bertahun saya tidak ke sana, silap hari bulan boleh sesat di dalam bangunan itu.

Semua orang tahu, Parlimen -- tempat di mana undang-undang dan perlembagaan negara di gubal, harus diingat ia bukan tempat ahli parlimen bergaduh seperti yang sering anda lihat di kaca tv.

Dulu, masa mula-mula buat reporting -- Dewan Rakyat dan Dewan Negara antara tempat medan untuk belajar buat story.


Di sinilah saya mula belajar tentang prosedur sistem perlembagaan negara, tentang rang undang-undang, tentang bacaan rang kali pertama, tentang usul perlembagaan, tentang semakan akta sedia ada dan sebagainya.

Di sinilah juga, tempat kita berkenal-mesra dengan ahli-ahli Yang Berhormat, (mesra sangat atau sekadar suam-suam kuku atau sekadar mesra untuk memenuhi agenda pribadi -- ia sangat tergantung kepada diri masing-masing.)

Saya masih ingat, hari pertama jejak kaki dalam Dewan Rakyat, tiada seorang pun senior yang nasihatkan saya kena tunduk tanda hormat setiap kali masuk atau keluar dewan.

Lalu, sayapun masuk dan berlagak seperti biasa, lalu duduk, namun saya perhatikan semua orang lain yang masuk tunduk macam orang Jepun, terus terdetik dalam hati 'alamak matilah... aku tak tunduk pun, agak-agak kena halau ke nanti? berdebar-debar rasanya.'

Setengah jam duduk di dalam dewan, haram... satu perkarapun saya tidak faham apa yang YB-YB ini merapukan.

Masuk tiga empat hari... emm kacang saja buat story parlimen, tutup matapun boleh buat. (haha memanglah tutup mata, sebab mengantuk...tapi jangan tutup telinga, takut ada isu hangat nanti terlepas.)

Seperti biasa, habis sesi perbahasan, kami para wartawan akan menunggu di lobi, berebut-rebut macam ikan bila diberi makan -- mencari para YB untuk ditemubual berhubung jawapan yang diberi dalam sesi perbahasan dan sebagainya.

Di sini jugalah, kita dapat melihat pelbagai gelagat para YB, tidak kira yang bergelar Pak Menteri atau MP Pembangkang, ada yang suka bergayut telefon macam orang yang ala-ala bercinta -- (Maaf YB Datuk mengumpat sikit -- anda tahu siapa anda.)

Ada yang suka berseloroh dengan nada suara yang cukup tinggi di lobi parlimen dan ada juga yang suka berlakon -- dalam dewan bukan main bertegang leher, luar dewan berpeluk-tampar.

p/s: Di sini juga saya rapat dengan Azrinaz Mazhar Hakim

20081119

Cubaan...Cubaan...123!

Petaling Jaya, November 19th, 2008 (Wed) -- Saya tidak pernah memuat-naik (upload lah tu!) sebarang video ke dalam blog ini, ini hanyalah percubaan pertama saya, malah video yang saya muat-naik ini juga cukup terkesan dan mendebarkan.

20081116

Langkawi, Lagenda atau Permata?



Pantai Chenang, Langkawi, May 2008 -- Kali terakhir saya explore pulau penuh lagenda ini pada 2003 kerana pada waktu itu saya bertugas dengan sebuah stesyen TV kerajaan.

Seluruh pelusuk Langkawi saya jelajah, cari bahan berita dan menulis dokumentari mengenai kerja-kerja pembinaan kereta kabel di sini.

Selapas 5 tahun saya tinggalkan pulau asal Mahsuri, saya kembali dan susuri semula semua laluan yang pernah saya pergi dulu.

Banyak yang sudah berubah! -- ada yang sudah berubah ke arah lebih baik, namun saya dapat lihat lebih banyak kesuraman di sini.

Memang, Langkawi kini ada jeti baru lebih selesa (ada Starbuck lagi), ada kereta kabel, dah ada panggung wayang juga, dan jalanraya lebih luas, lebih lurus menghubungkan Kuah dan Padang Mat Sirat (yang disifatkan orang tempatan sebagai Lebuhraya)...,
Tapi, apa yang saya lihat di Pantai Chenang makin suram, chalet, hotel dan resort macam tidak terjaga (barangkali kurang dana akibat kurang pengunjung), Pekan Kuah seolah tiada tarikan, Porto Malai bagaikan rumah berhantu di funfair pada tahun-tahun lewat 80-an.

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi

Panggung wayang yang sunyi tanpa pengunjung

Jeti Kuah yang baru


Bot ke Langkawi



Lokasi filem Hollywood Anna and The King, ia wajar dipelihara sebagai sebahagian lokasi pelancongan, premis tradisional ini dibina sebagai Istana Raja Thailand (Chow Yun Fatt) dalam filem tersebut. Namun, apa yang tinggal hanya 'istana' kosong, ditinggalkan usang, semak dan dibarikan reput.

Sejak Tun Dr. Mahathir 'meninggalkan' kerajaan dan Langkawi yang sentiasa menjadi buah hati kepada Dr. Mahathir turut tertinggal.

Wakil-wakil media arus perdana yang sebelum ini mempunyai pejabatnya di Langkawi turut ditutup kerana kita percaya Langkawi tiada 'news value' lagi.

Ke mana hala tuju Langkawi selepas ini? masih belum selesaikah sumpahan Mahsuri?

Sebaik kerajaan PAS mengambil alih pemerintahan Kedah, jolokan Langkawi Pulau Lagenda ditukar ke Langkawi Permata Kedah.



Lebih banyak pilihan perjalanan untuk ke Langkawi selain Penerbangan Malaysia dan AirAsia, kini Firefly juga terbang ke sana.

20081108

Standby Anchor...! and Cue!

Kuala Lumpur, November 8th, 2008 (Sat) -- Ramai orang bertanya saya, macam mana pembaca-pembaca berita boleh membaca dengan lancar tanpa melihat kertas? Adakah mereka menghafal semua berita-berita tersebut? Atau adakah kaedah lain?
Untuk segala pertanyaan seperti itu, saya sertakan gambar dibawah.




Untuk makluman, kertas atau 'hard copy' juga adalah penting sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingin kepada sistem 'tele-prompter' tersebut.


Perkataan-perkataan pada 'tele-prompter' itu dikawal oleh penyampai sendiri dengan menggunakan padel -- seakan padel minyak kereta.


Padel kawalan itu hanya ada satu sahaja, jadi sekiranya ada dua penyampai mereka perlu berkongsi padel atau seorang penyampai yang sudah biasa dan memahami rentak bacaan rakannya mengambil tanggungjawab mengawal padel tersebut bagi keseluruhan program.


Faham-faham sajalah kalau sudah benda berkongsi, pasti ada harinya yang akan berlaku salah faham... sama macam dengan orang bermadu (aik! maaf sudah keluar topik).


Kembali kepada cerita padel; ada berlaku beberapa peristiwa, seperti rakan penyampai terlupa nak tekan padel bila tiba giliran rakannya membaca, berlaku juga apabila dia tertekan terlalu laju hinggakan rakannya yang sedang membaca itu hilang fokus, haha itu semua pengalaman, hanya pengalaman membezakan penyampai-penyampai baru dan lama.


Hanya penyampai yang berpengalaman mampu menghadapi sebarang kemungkinan dengan wajah yang 'cool' dan 'slumber' -- tentu sekali penonton tidak tahu bertapa gejolaknya rasa di dalam hati. :)

20081105

Maaf, Makcik Sungai Isap!

SUNGAI ISAP, KUANTAN, October 25th, 2008 (Sat) -- Hari ini Rumah Terbuka Malaysia sempena Aidilfitri diadakan di sini.


Seperti biasa 'short notice'! -- Penerbit hubungi saya dan minta pergi ke Kuantan, kelam-kabut cari baju melayu.


Sebaik tiba di sini 1 tengahari, orang mulai ramai, dan acara hampir bermula. Kami cuma ada masa tidak sampai sejam untuk memasang semua perkakasan siaran luar.




Sementara krew memasang semua peralatan, saya salin baju dalam OB Van dan bersiap untuk 'go on live', memang tidak susah pun nak buat siaran langsung macam ini, tapi perlu faham subjek yang ingin diperkatakan nanti dan menghafal nama tempat, nama-nama orang penting dan sebagainya.




Ketika hampir semua bersedia untuk bersiaran langsung, tiba-tiba ramai pula orang ramai melintas depan saya yang sedang menghadap kamera, FM pula pada waktu itu sedang sibuk dengan hal lain, tinggal beberapa saat sahaja lagi.


"Woi jangan lintas depan kamera boleh tak? FM mana?" jerat saya sekuat hati di tengah-tengah orang ramai.


"Makcik nak tumpang lalu kejap je." Jawab seorang wanita warga emas (sangat tua) yang ketika itu sedang melintas di depan saya.


Bukan niat saya untuk marahkan makcik itu sebenarnya saya hanya nak tegur FM agar menghalang orang dari melintas di hadapan kamera, dan saya tidak sangka pula makcik itu akan melintas di saat kami akan bersiaran langsung.


Ya Allah! rasa bersalah sangat, mesti makcik itu kecil hati. Saya mohon maaf sangat!


Suasana masa itu panas terik, baju jangan cakaplah -- basah lencun.




Ada pula tetamu yang hadir di majlis itu mahu bergambar, layankan sajalah.




OB van = Outsite Broadcast van (siaran luar)
FM= Floor Manager