Hanoi (Vietnam), January 8th, 2009 -- "Jangan bandingkan Kuala Lumpur dengan Hanoi, dan bandaraya ini sebenarnya ketinggalan 30 tahun di belakang Kuala Lumpur," ingatan Jason kepada kami sebaik kami duduk dalam bas pelancong itu.
Jason -- seorang pemandu pelancong berbangsa Cina dari Malaysia.
Dia agak banyak cakap, bercerita tentang sejarah Vietnam, bagaimana Hanoi mendapat namanya, tentang cerita dongeng dan sebagainya -- ( dah memang tugas dia kan...) sedangkan tumpuan kami lebih untuk melihat persekitaran sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke hotel itu.
Kebanyakkan daripada kami baru pertama kali menjejakkan kaki di bekas negara komunis itu, justeru kami agak teruja untuk melihat lebih dekat kehidupan mereka di sini.
Beberapa meter keluar dari lapangan terbang, rasa bangga menyelinap dalam diri kerana terpandangkan stesyen Petronas, meski tiada sebarang hubungan antara saya dengan Petronas, namun setidak-tidaknya aura patriotisme itu masih ada dalam diri.
Kata Jason, Hanoi bandar selamat, tidak ada pencopet atau peragut, kita boleh bersiar-siar di bandarnya hingga tengah malam, tiada siapa yang akan peduli.
Dalam keadaan cuaca yang sejuk sekitar 10 darjah selsius, tentu sekali saya cukup selesa untuk bersiar-siar di kota ini, tapi sayang sekali habuknya menafikan niat itu.
Hanoi, bukan seperti Ho Chi Minh -- Hanoi ada empat musim, malah di sebuah bandar di utara Hanoi bersempadan dengan China ada salji yang turun.
Dari Hanoi ke bandaraya Ho Chi Minh, mengambil masa 2 jam penerbangan, dan 10 jam dengan keretapi untuk ke bandar sempadan dengan wilayah Funan dan Kunming di China.
Terlintas di fikiran saya, tentu sekali saya mahu terus saja ke China dengan keretapi malam yang dimaksudkan tapi bukan dalam trip kali ini. Ia harus dirancang rapi untuk pengembaraan saya pada masa akan datang.
Hanoi mendapat jolokan City within The River -- dan Sungai Merah merentasi sepanjang tanah delta itu dengan membawa banyak kisah dan sejarah tempatannya.
Sungai Merah menjadi nadi utama di Vietnam Utara
Seperti masyakarat Budha lain, warga Vietnam yang mempunyai 54 kumpulan etnik turut sibuk membuat persiapan untuk merayakan tahun barunya tidak lama lagi -- yang dipanggil 'Tet'.
Hanoi, memang terkenal untuk destinasi membeli-belah bagi barangan dan jenama tertentu yang dijual murah di sini, seperti sutera Vietnam, beg galas jenama Deuter (under licensed) dan barangan krafnya. Destinasi membeli-belah utama di Old Quater.
Di Hanoi sahaja terdapat 5 juta penduduknya dan itu menurut sumber hanya jumlah rasmi yang didaftarkan oleh pihak kerajaan, ini kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri Nguyen Tan Dung menghadkan rakyatnya hanya mempunyai seorang anak sahaja.
Dipercayai ramai daripada rakyat Vietnam merahsiakan jumlah anak meraka semata-mata mengelak dari diambil tindakan kerana melanggar peraturan itu.
Daripada 5 juta rakyat Vietnam di Hanoi yang mempunyai populasi keseluruhannya 86 juta orang, 3 juta motosikal di daftarkan di bandaraya itu.
3 juta motosikal memenuhi bandaraya Hanoi
Justeru, tidak hairan hanya deruman enjin motosikal akan anda dengar sepanjang berada di Vietnam dan simpang-siurnya motosikal itu ke destinasi masing-masing pastikan terbawa-bawa dalam tidur.
Tip dari Jason, kalau mahu melintas jalan di Hanoi, jangan teragak-agak, melangkah dengan perlahan, kerana penunggang motosikal di sini akan mengelak anda dan mereka akan panik jika anda berlari atau teragak-agak melintas.