Behind The Scene!

Showing posts with label Korea. Show all posts
Showing posts with label Korea. Show all posts

20080212

Sedih

Petaling Jaya, February 11th, 2008 (Mon) -- Hari ini saya rasa kurang gembira (nak kata sedih sangat tu tidaklah!) selepas membaca dua berita.

Pertama, apabila membaca mengenai Namdeamun atau Gerbang Agung Selatan yang terletak di tengah Bandaraya Seoul, musnah dijilat api, awal pagi ini.

Sumber: BBC

Genap dua minggu lalu, saya ke Namdeamun, menghayati senibinanya, bergambar dan pernah satu ketika saya menjadikan Namdeamun itu sebagai penanda bagi menentukan hala tuju saya semasa bersiar-siar di kota itu seorang diri lewat tengah malam.

Ketika bergambar di hadapan Namdaemun


Gerbang kota berusia lebih 600 tahun itu kelihatan begitu indah dan agam pada sebelah malam.

Ia dianggap sebagai khazanah negara oleh penduduk Korea Selatan dan simbol kebanggaan negara itu.

Gerbang yang dibina pada 1398 itu merupakan pintu pagar utama untuk mengawal kemasukan ke Seoul yang dikelilingi tembok ketika menjadi ibu negara sejak lebih 600 tahun lalu.

Ia turut menjadi pusat kebudayaan dan tarikan pelancong.

Berita kedua yang menyumbang kepada rasa kurang gembira saya ialah mengenai serangan bom ke atas kediaman Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta.

Jose Ramos-Horta

Ketika bertugas di negara termuda di dunia itu beberapa tahun lalu, saya dan beberapa rakan lagi antara wartawan luar yang paling rapat dengan pemimpin yang pernah memenangi Hadiah Nobel Keamanan tersebut.


Penulis bersama Jose Ramos-Horta

Akibat serangan itu, beliau cedera parah di perut dan dada terkena peluru.

Penulis di hadapan pejabat Jose Ramos Horta

Agensi berita AFP yang memetik pengurus besar hospital tentera Australia, Dr. Len Notaras sebagai berkata, kecederaan Ramos-Horta tidak mengancam nyawanya tetapi “kecederaannya amat serius”.

Serangan ke atas Ramos-Horta berlaku kira-kira pukul 7 pagi waktu tempatan apabila dua buah kereta dipandu melepasi rumah Presiden itu di luar Dili.

Presiden Timor Leste itu berada di halaman rumah ketika kejadian dan cuba memasuki rumahnya apabila mendengar tembakan tetapi gagal.

Serangan itu turut mengorbankan ketua pemberontak, Mejor Alfredo Reinado, yang mengetuai serangan itu.

Ketika menemubual Mejor Alfredo Reinado di tempat persembunyiannya

Sebagai wartawan asing ketika bertugas di sana, kami menjadi orang yang paling natural dan perlu berbaik-baik dengan kedua-dua pihak bertelagah. Dalam kata lain, saya juga kenal dengan ketua pemberontak tersebut.

Saya masih ingat, kesempatan yang ada ketika di sana saya gunakan untuk menjejaki Alfredo yang ketika itu sedang bersembunyi di dalam hutan yang jauhnya kira-kira 150 kilometer dari Dili dan mengambil masa 4 jam memandu serta meredah hutan mencari tempat persembunyi bekas tentera negara Timor itu.

Mejor Alfredo Reinado dalam kenangan

Dan, hari ini dia menjadi korban dalam kemelot di negaranya itu.

20080209

Hilang Dalam Lubang


Salam,

Dear Friends,

Terlebih dahulu mohon maaf, kerana agak lama tidak menulis sesuatu di sini, sedikit sibuk sebenarnya dengan tugas hakiki, tugas luar dan pengurusan hidup. Banyak perkara-perkara di luar jangkaan berlaku.

Seperti perjalanan saya ke Korea baru-baru ini dan proses penggabungan syarikat tempat saya berkerja dengan sebuah entiti luar -- semuanya diluar jangkaan.

Saya mulakan dengan cerita bagaimana tiba-tiba saya boleh terbang ke Korea.

Satu hari seorang teman yang bekerja dengan Kerajaan Korea Selatan hubungi saya, mungkin ada di kalangan teman-teman yang sudah faham saya ini memang manusia yang jenis malas nak layan panggilan orang lebih-lebih lagi waktu saya sedang sibuk mengejar 'deadline'.

Jadi, ketika teman itu hubungi saya, saya buat layan tak layan, iyakan saja apa yang dia kata, masuk telinga kiri, keluar telinga kanan.

Seminggu selepas itu, dia hubungi saya lagi dan bertanya setuju ke tidak? Saya tanya dia setuju apa?

"...Kan hari itu I dah cakap kat you, nak ajak pergi Korea, main ski..."

Korea? Ski? Winter Sonata? baru itu saya dengar... dan ketika itu juga mata terkebil-kebil, jantung berdegup-degup.

"Oklah, I tanya bos I, boleh cuti ke tak," meluru terus saya ke meja bos saya dan berbisik pada dia.



"Pergilah bercuti, tapi tulislah apa-apa yang patut dari sana," kata bos saya yang memang terkenal baik hati itu.

Kalau sudah jadi wartawan itu, pergi mana-manapun tetap wartawan. Jadi, terbanglah saya ke Korea, bercuti sambil bekerja.




Perkara kedua, mengenai hal penggabungan syarikat yang turut melibatkan semua orang. Boleh dikatakan semua orang panik.

Bila sudah bergabung, cara kerja berbeza, gaya penulisan berbeza, pengurusan bertukar, malah kami dikehendaki bersiaran 24jam sehari.

Bagi saya, itu semua tiada masalah, bukan saya tidak pernah bekerja 24 jam, kerja di mana-manapun sama, cuma yang membimbangkan saya politik di tempat kerja -- ini perkara yang paling saya tidak gemar dan antara faktor utama saya tidak bertukar-tukar kerja.

Sekian dulu perkembangan yang dapat saya tulis.

Jumpa lagi nanti,

Wassalam.


Yang benar,

Kifli Bujang.



p/s: Nantikan kemunculan satu saluran berita terbaru di Malaysia, 24 jam sehari.