Behind The Scene!

Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

20080930

Orang Highway!



Seafeild USJ, September 30th, 2008 -- (Tue) Tugasan saya kali ini ialah membuat liputan trafik sempena cuti perayaan Aidilfitri. Sudah empat hari saya berkampung di Pusat Kawalan Trafik PLUS Wilayah Tengah dekat sini dan memantau 34 kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sepanjang lebuhraya Utara-Selatan dari Skudai, Johor ke Bukit Kayu Hitam di Kedah.

Naik pening kepala saya melihat 34 CCTV selama 12 jam tanpa henti, dan setiap jam saya perlu membuat crossover (lintas langsung) untuk hebahan orang ramai.

Tapi menarik juga bertugas di sini, kerana kita menjadi penghubung kepada orang ramai yang ingin mengetahui keadaan semasa lebuhraya sebelum mereka memulakan pergerakkan untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Selain itu, sepanjang 12 jam bertugas memantau trafik di sini, macam-macam hal dapat saya lihat, ada yang menghubungi PLUS kerana kereta kehabisan petrol, tayar pancit, tertinggal beg duit di kawasan Rehat dan Rawat, tertinggal anak di kawasan rehat pun ada -- kalau laporan kenderaan rosak jangan cakaplah, hampir setiap minit.

Namun, antara pengalaman yang cukup menarik apabila dapat menyaksikan sendiri beberapa kemalangan berlaku betul-betul di hadapan CCTV yang dipasang. (Seolah-olah berlaku depan matalah.)

Menyedihkan semalam, apabila kemalangan berlaku membabitkan seorang penunggang motosikal, lelaki Melayu menjelangnya waktu berbuka puasa, dia meninggal di tempat kejadian, emmm:(

Sepanjang 4 hari membuat laporan di sini, saya sudah faham dan arif sangat tugas mereka di sini.

Selamat hari raya kepada semua kakitangan PLUS Expressway Berhad yang bertungkus-lumus bertugas pada hari raya bagi memastikan perjalanan anda selamat dan selesa.
Ketua Pegawai Operasi dan Teknikal COO/CTO bersama krew
Makanan berbuka puasa yang disediakan PLUS
(sure sedih mak I kalau dia tahu apa I makan untuk berbuka! Provided she know how to open and read my blog lah kan! hehe.)
Buka puasa ala kadar di luar Bilik Kawalan Trafik Wilayah Tengah

20080928

Akhirnya!


Petaling Jaya, September 26th, 2008 (Fri) – Hari ini bersamaan dengan 26 Ramadhan, akhirnya saya berjaya menjejakkan kaki ke salah satu Pasar Ramadhan berhampiran rumah.

Ya! Sungguh! Ke Pasar Ramadhanlah adalah perkara yang cuba saya elak, atas beberapa sebab – tidak suka tempat sesak, takut nanti baju bau asap dan takut terbeli makanan berlebihan – rambang mata.

Hari ini, ketika dalam perjalanan ke tempat kerja saya singgah ke Pasar Ramadhan Sungai Penchala, kenapa hari ini? Saya tiada jawapan untuk itu, tiba-tiba rasa semacam mahu pergi dan beli sendiri makanan untuk berbuka.

Saya beli epok-epok inti sardin, popiah goreng dan nasi goreng ayam. Habis RM8.

Di pejabat, makan bersama beberapa rakan sekerja lain, macam kenduri pula.


*ikut fahaman saya; dalam dialek Johor epok-epok ialah karipap. Gambar oleh Static.flickr.

20080922

Sahur Di Mana?


Kuala Lumpur, September 22nd, 2008 (Mon) -- Keluar minum (ala-ala bersahur) dengan beberapa orang teman di lobi sebuah hotel lima bintang, dekat sini.


Barangkali sudah menjadi sifat seorang wartawan, mata sentiasa melingas memerhatikan gelagat orang dan persekitaran.


Orang keluar masuk di coffee house tersebut, ada yang berpakaian seksi, bersolek tebal, ada yang hanya berpelekat, mungkin baru pulang dari tarawih.


Tiba-tiba, kelibat seorang personaliti tv menjengah, bersama teman lelakinya dan kedua orang tua lelaki tersebut. (masih diperingkat suai-kenal dan mengenali hati budi masaing-masing -- seperti yang diberitahu kepada media).


Di belakang saya, seorang lelaki bergelar Datuk bersama rakan, saya percaya dia seorang VIP kerana mengiringinya tiga orang pengawal peribadi.


Datuk yang berwajah Melayu, bertutur dalam bahasa Melayu dan menyebut tentang mahu bersahur -- jadi saya mengecap dia sebagai seorang Islam, sedang asyik menghirup 'ribena'.


Tidak lama selepas itu, terdengar gelas pecah, rupa-rupanya lelaki bergelar Datuk itu sedang 'cheers' hingga pecah gelas, hebat orang sekarang bersahur!

Hikmah!


Kuala Lumpur, September 21st, 2008 (Sun) -- Seperti biasa, hari orang bercuti saya bekerja. Hari ini saya kerja siang, tamat shift 5.30 petang.


Sebenarnya saya ada janji dengan seorang rakan penerbit -- sejak minggu lepas program diatur untuk ke majlis berbuka puasa jemputan sebuah syarikat pengeluar kereta ternama antarabangsa.


Bila tiba waktunya, dia hubungi saya beritahu yang dia tidak jadi pergi, geramnya kerana menyusahkan saya menukar shift bekerja semata-mata untuk memenuhi undangan tersebut, dalam masa sama menolak banyak pelawaan lain.


Dengan hati yang kurang senang, saya ambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah.


Sedang saya bersiap untuk pulang ke rumah... satu panggilan dari nombor yang sangat asing.


Anda percaya dengan hikmah, gerak hati, jalan dipermudah Allah?


Barangkali itu yang sedang berlaku, sedang saya tiada arah dan tiada teman untuk berbuka puasa, panggilan telefon itu sebenarnya membawa saya menjadi penyelamat kepada seseorang yang amat dalam kesusahan.


Teman yang amat mesra dengan saya ini memerlukan bantuan dari ancaman dan tekanan luar biasa yang sedang dia hadapi, (macam dalam drama pula).


Saya perlu 'sembunyikan' dia yang sedang dalam trauma, tapi itu masalah dia, tidak perlulah saya perincikan masalah dia, dan saya hanya digerakkan Allah untuk menolong 'selamatkan' dia pada ketika itu.


Jadi, saya belajar sesuatu hari ini, setiap yang terjadi ada hikmah dari Allah, dan mungkin kesulitan yang kita hadapi sebenarnya untuk mempermudahkan urusan orang lain.


Akhirnya, saya berbukalah dengan teman saya ini yang sudah beberapa minggu tidak muncul di pejabat, (setidak-tidaknya masih mengikut perancangan asal -- berbuka di hotel mewah walaupun room-service.)

20080910

Buka Di Mana Hari Ini?

Gambar hiasan

Petaling Jaya, September 10th, 2008 (Wed) - Diam tak diam, sudah 10 hari umat Islam di negara ini berpuasa -- selamat berpuasa kepada semua dan sama-samalah kita menghayati Ramadhan al-Mubarak ini.

Kalau mengikut jadual tugasan sepanjang September/Ramadhan, 22 hari saya akan berbuka puasa di pejabat kerana tuntutan tugas.

Memang kelam-kabut kalau berbuka puasa di pejabat.


7.20pm berbuka dengan kurma dan sedikit makanan, tergesa-gesa pula untuk bersolat, 7.45pm mesti masuk ke bilik make-up, 7.55pm sudah bersiap sedia di dalam studio. (10 minit nak pakai baju, make-up, blow rambut semua, mana sempat!)


Gambar hiasan


Bagus juga, setidak-tidaknya dapatlah saya mengawal makan, tidaklah terlebih makan waktu berbuka.
Ini secara tidak langsung menjawab kepada segala persoalan mengapa saya terpaksa menolak undangan majlis berbuka puasa samaada dari pihak korporat, keluarga dan rakan-rakan. Maaf ya!
Memang seronok kalau dapat berbuka puasa beramai-ramai dengan rakan-rakan baik, keluarga dan sebagainya, dapat makan di luar, berkumpul dan berbual-bual, tapi nak buat macam mana...