Wartawan-- di mana-manapun boleh menulis, walaupun di kedai kopi (sekadar gambar hiasan)
KUALA LUMPUR, January 16th, 2008 (Wed) -- "You know how, but you must admit he knows who!"
Itu kata-kata seorang teman yang intipatinya berbaur politik. Maklumlah teman saya seorang ini wartawan di Meja Politik -- agak senior, walaupun masih muda dan belum berkahwin, masih bergetah.
Ops bukan saya nak cerita pasal getah yang dia ada, tapi kata-kata yang diluahkan itu amat terkesan dalam minda saya. Setidak-tidaknya ia memberi kesan hingga saya memulakan langkah menaip sesuatu diblog ini.
Kami bukan berbincang mengenai dunia politik, tapi sebenarnya kami berbincang mengenai dunia kewartawanan tanahair. Industri kewartawan di Malaysia ini bukan besar mana, pusing-pusing kita akan jumpa orang yang sama.
SIMBOLIK -- Media dari organisasi manapun tetap mahu menjadi penyampai maklumat terbaik, justeru mereka menghala ke satu arah yang sama, tapi kadang-kadang ada yang menongkah arus perdana dan cuba mencari kelaian.
Kalau hari ini, dia rakan sejawatan kita dari organisasi yang sama, tapi esok belum tentu. Barangkali dia sudah bertukar ke organisasi yang lain, namun, kita tetap berjumpa dalam acara-acara tertentu.
Atau, hari ini dia mungkin sama-sama mengejar berita dengan kita, tapi esok mungkin dia sudah jadi editor yang mengarah kita mencari berita sedangkan mereka lebih junior dalam industri -- Perkara ini yang membawa kepada dialog di atas.
KERJA SAMA -- Walaupun dari organisasi berbeza kami kerja bersama dan bantu-membantu.
Itulah sepak-terajang dunia kewartawanan.
Ada beberapa kenalan wartawan yang saya temui, kerjanya asyik bertukar organisasi, sebulan di RTM, beberapa bulan kemudian sudah bertukar ke ASTRO, tidak lama di sana, berpindah lagi ke Utusan, belum pun panas buntut di Utusan, sudah beralih ke Radio.
Namun, jika dia dapat apa yang dicarinya, itu bukan halangan. Tapi, simpati kepada beberapa teman yang melompat-lompat akhirnya kecundang dan entah ke mana-mana.
Tidak kurang juga, ada di kalangan kenalan wartawan yang meninggalkan terus dunia penulisan ini dan menjawat jawatan lebih besar seperti ahli politik, ketua pegawai eksekutif, pengarah dan sebagainya, malah ramai juga yang sudah mendapat pangkat Datuk.
Semua itu bergantung kepada apa yang dicari dan peluang yang mendatang. Selama manapun sanggup jadi wartawan cabuk-(gelaran yang sering diberi masyarakat kepada wartawan yang suka sibuk ambil tahu hal mereka)?
LIPUTAN -- Semasa membuat beberapa liputan berita, gambar atas selepas sidang media bersama Ketua Polis Negara di Putrajaya. Gambar bawah, ketika membuat liputan di Karbala, Iraq.