Behind The Scene!

20071003

Wanted and Unwanted! (edited)

BUKIT AMAN (Kuala Lumpur), October 2nd, 2007 (Tue) -- Hari ini Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan, Datuk Christopher Wan Soo Kee memanggil semua media untuk diberi taklimat khas berhubung perkembangan kes Nurin Jazlin Jazimin.

Selepas membebaskan empat lelaki yang ditahan sebelum ini kerana dikatakan tiada kaitan dalam kes ini, kini polis sedang mengesan dua lagi suspek baru. Mereka adalah seperti photo-fit yang diedarkan pihak polis:



ORANG YANG DIKEHENDAKI / WANTED

Berumur lingkungan 35-40 tahun, ketinggian 168cm, dia dikatakan mencari bilik sewa di sekitar Bangsar untuk dirinya dan anak perempuannya. Dia dipercayai beberapa dilihat di kawasan Bangsar semasa Nurin dilaporkan hilang. Polis percaya lelaki ini boleh membantu siasatan mereka.


ORANG YANG DIKEHENDAKI / WANTED

Berumur 20an, ketinggian 153cm, rambut lurus paras bahu, imejnya dikesan di dalam rakaman CCTV yang diperolehi di kawasan berhampiran mayat Nurin ditemui di Petaling Jaya Utama pada petang Ahad 16 September 2007 lalu. Ketika itu dia memakai baju merah berseluar jeans dan berada berhampiran beg sukan berjenama Diadora yang memuatkan mayat Nurin.




Kepada semua bloggers dan pembaca blog, sekiranya ada mempunyai sebarang maklumat mengenai kedua-dua suspek ini, sila hubungi ASP Low Pei Pei di talian 019-3577 008.

20071002

Baca Berita atau Baca Meter?


PETALING JAYA, September 18th, 2007 (TUE) – Seperti yang pernah saya bincangkan pada awal-awal blog ini (rujuk arkib Mei 2007) tugas sebagai wartawan sering diperhatikan, lebih-lebih lagi wartawan penyiaran yang sering muncul di kaca televisyen.

Ada yang mengimpikan tugas ini seperti Amy Mastura dalam filem Puteri Impian dan ada yang memandang rendah pada kerjaya kami seperti isteri Abdul Razak Baginda yang sering memaki-hamun wartawan.

Ada juga yang menganggap tugas ini glamor, tapi pada saya tidak ada apa yang glamornya, sama seperti kerja seorang pembaca meter elektrik.

Berjalan dari rumah ke rumah, membaca meter, mencatatnya dalam bil, membuat sedikit kira-kira dan menyerahkannya kepada penghuni rumah – bagi penghuni yang menerima bil yang rendah berasa lapang dada, tapi bagi mereka yang menerima bil melambung tinggi, tentu sekali rasa macam mahu cekik di pembaca meter itu.

Samalah dengan tugas kami, ke mana saja demi mencari berita, menulisnya semula dalam bentuk laporan berita disamping membuat sedikit semakan, dan menyiarkannya dalam akhbar atau televisyen – bagi yang sukakan laporan itu tentu sekali senyum, manakala bagi mereka yang rasa tidak senang dengan laporan berita itu, tentu rasa seperti nak bakar suratkhabar tersebut atau menampar muka si pembaca berita.

Jelas, tugas saya samalah seperti pembaca meter, tapi saya bukan pembaca meter biasa yang menyerahkan bil kepada penghuninya, sebagai pembaca meter elektronik, saya akan beritahu anda sendiri berapakah jumlah yang perlu dibayar.

Untuk mengetahui berapakah jumlah bil anda, tontonlah saluran Astro Ria, setiap hari 8.30 malam.

20070929

"Nurin Buat Saya Tidur Tak Lena"

KUALA LUMPUR, September 29th, 2007 (Sat) -- Hampir seminggu tidur saya tidak berapa lena. Selagi suspek pembunuhan Nurin tidak ditahan selagi itulah sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga. Takut kena skop dengan media lain.

Gara-gara terlalu teruja untuk mendahului maklumat dari media lain, ada pihak yang sudah tersalah lapor hingga membangkitkan rasa marah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Macam itulah tugas, ada di kalangan wartawan yang terlalu taksub nak dapatkan bahan berita eksklusif atau dalam istilah media 'skop' hingga menyusahkan orang lain.

Sekarang ini tumpuan saya ialah kes pembunuhan Nurin. Kalau tengah malam semalam operasi polis memberkas 4 lelaki dan seorang wanita di Seksyen 7, Shah Alam yang dikaitkan dengan kes tersebut, pagi ini sekali lagi saya dikejutkan dengan maklumat satu lagi tangkapan -- seorang wanita di Nilai yang dipercayai bersubahat menyembunyikan kanak-kanak malang itu.

Bingkas saya bangun subuh-subuh ini untuk mengatur strategi liputan. Sesudah mengatur perancangan liputan dengan jurukamera, saya pun rebah semula di katil dan sambung tidur. Letih sangat -- macam saya kata tidurpun tak lena gara-gara Nurin.

Harap-harap jurukamera saya tidak kena skop dengan media lain.

20070922

Istimewa Lebaran

Kepada semua pembaca Behind the Scene!

Rebut hadiah istimewa sempena Lebaran ini dari saya dengan menjadi tiga penghantar e-mel pertama dan menjawab pernyataan di bawah:

Mengapa anda suka baca blog Behind the Scene! dan apa lagi yang ingin anda baca?

Hantarkan e-mel anda ke zulkiflibujang@yahoo.com berserta jawapan dan alamat pos lengkap untuk tujuan penghantaran hadiah selewat-lewatnya 27 September ini.

Sekitar Pengkebumian Nurin Jazlin Jazimin

Wangsa Maju, September 21st, 2007 (FRI) -- Selepas sebulan hilang, Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun ditemui dalam keadaan menyayat hati. Dia korban penderaan seksual.

Sepanjang hari saya membuat liputan kes ini, melalui proses menuntut jenazah di HKL, membawanya ke Madrasah Assa'Adah, Seksyen Satu, dekat sini dan akhirnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Kuala Lumpur.

Berikut, beberapa gambar yang dirakam sepanjang peristiwa sedih ini.
Jenazah Nurin Jazlin Jazimin di bawa ke Madrasah Assa'Adah Wangsa Maju, untuk disembahyangkan dan memberi peluang kepada orang ramai menziarah jenazah untuk kali terakhir.
SEDIH -- Hati ibu bapa mana yang tidak sedih melihat anak diperlukankan sebegitu.
RAMAI -- Orang ramai termasuk rakan-rakan sekolah Allahyarhamah memenuhi ruang madrasah untuk menziarah.
PILU -- Jazimin Abdul Jalil tidak dapat menahan sebak ketika melihat anaknya dibawa ke madrasah untuk disembahyangkan.
Jazimin sempat menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah, termasuk untuk Allahyarhamah Nurin
BERDUA -- Kakak dan adik kepada Allahyarhamah
Kubur tempat bersemadinya Allahyarhamah Nurin Jazlin Jazimin yang menjadi korban manusia berperangai binatang.
SAYU -- Kakak Sulong kepada Nurin yang lebih dikenali sebagai Kak Ngah, melihat kubur adiknya dari jauh.

Hari yang Panjang

KUALA LUMPUR, September 20th, 2007 (THU)Hari ini, hari yang panjang dan penuh cabaran bagi saya.

Bermula seawal jam 8 pagi menuju Shah Alam untuk liputan kes Altantuya yang kembali didengar selapas tertuduh ketiga Abdul Razak Abdullah Baginda menjalani pembedahan mata.

Bagaimanapun, belumpun sempat saya sampai di mahkamah, melalui telefon tangan saya dimaklumkan yang perbicaraan tidak dapat dijalankan kerana tertuduh masih lagi tidak sihat.

Sayapun berpatah balik ke ibu pejabat di Kuala Lumpur, dalam perjalanan itu sekali lagi telefon saya berbunyi dan saya mendapat maklumat yang keputusan ujian DNA ke atas mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di Petaling Jaya Utama pada 17 September lalu adalah adik Nurin Jazlin Jazimin.

Saya terus lencongkan kereta saya menuju Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan memaklumkan perkara itu kepada jurukamera di pejabat dan bersiap-sedia untuk ke sana.

Seperti biasa, masalah utama di HKL adalah mencari petak untuk letak kereta.

Hampir setengah jam mencari-cari tempat sesuai untuk meletakan kereta dan dua kali pusing HKL, saya ambil keputusan untuk letak saja kereta di bahu jalan berhadapan Jabatan Forensik atau juga dikenali sebagai Rumah Mayat di kalangan kami.

Lebih 30 wartawan dari berbagai organisasi sudah berkumpul di hadapan Jabatan Forensik. Cuaca pada hari ini sangat terik, namun tidak terlintas di hati untuk berbuka puasa, tidak seperti sesetangah wartawan/jurugambar (lelaki Islam) yang terpaksa mengorbankan puasa mereka gara-gara tidak tahan.

Lebih tiga jam kami menunggu di luar perkarangan Jabatan Forensik semata-mata mahukan maklumat, adakah benar keputusan ujian DNA yang dilakukan menyamai sample darah ibu bapa Nurin? Apa perasaan mereka? Apa tindakan selanjutnya sedangkan pada hari sebelum itu mereka menafikan yang mayat itu adalah Nurin – anak mereka? Semua persoalan itu perlu dijawab.

Akhirnya, pada pukul 3.30 petang, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil memberitahu media yang keputusan DNA masih belum keluar dan beliau masih menyatakan itu bukan Nurin.

Apa sudah jadi? Polis kata keputusan ujian sudah keluar dan positif Nurin, tapi Jazimin kata keputusan belum keluar?

Tidak puas hati, kami hubungi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mohon penjelasan. Akhinya Datuk Khalid bersetuju memberi sidang media berhubung keputusan DNA itu.

Bergegas pula kami ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam untuk berjumpa Datuk Khalid.

Dalam masa sama, kamu cuba mendapatkan penjelasan Ketua Polis Negara yang ketika itu menghadiri majlis di Jalan Dato’ Onn, ibu negara.

Semata-mata untuk dapatkan berita yang tepat, betul dan kredibel kami sanggup ke mana saja, Shah Alam-KL hari ini bagaikan litar kami.

6.30 petang deadline untuk berita Inggeris, kelam-kabut saya siapkan laporan.

7.30 malam, buka puasa ala kadar.

8.00 malam bersiap sedia masuk studio untuk menyampaikan berita-berita tersebut.

Keluar studio Editor saya kata, “Pergi rumah Jazimin malam ni, tanya dia nak tuntut ke tak mayat tu.”

Saya?” Tanya saya ringkas.

I don’t have anyone else.”

9.45 malam, dalam kereta menuju ke rumah Jazimin di Seksyen Satu, Wangsa Maju.

Tiba di sana, saya diberitahu Jazimin ke Shah Alam berurusan dengan polis.

Saya pun berjumpa dengan seorang sumber terdekat dengan keluarga Jazimin, berbual-bual sambil mencari maklumat dan mengorek cerita disebalik cerita.

Macam-macam cerita saya dapat dari sumber itu, yang semuanya saya sudah berjanji untuk off-record, maaf!

12.30 tengah malam, baru boleh pulang ke rumah.

Kan saya dah cakap… hari yang panjang!

20070918

Diva or Divo?

PETALING JAYA, September 18th, 2007 (TUE) – Disebalik sesi fotografi untuk majalah DIVA keluaran September 2007.
Saya sebenarnya langsung tidak ingat tentang ‘photoshoot’ ini. Sudah separuh jalan ke tempat kerja baru saya teringat yang saya ada janji temu dengan editor majalah tersebut di Myth Studio, Damansara Perdana.

Terus saja saya memutar stering kereta kembali ke rumah dan capai baju yang sesuai.

Janjinya pukul 10 pagi, 10.30 pagi baru saya muncul di Myth Studio yang sering digunakan untuk ‘photoshoot’ majalah-majalah antarabangsa seperti HerWorld, Cleo dan sebagainya.

Kredit perlu diberikan kepada jurugfoto yang cukup professional dan panatariasnya yang pandai membangkitkan mode saya.



Berikut beberapa foto ‘behind the scene’!