Behind The Scene!

20070929

"Nurin Buat Saya Tidur Tak Lena"

KUALA LUMPUR, September 29th, 2007 (Sat) -- Hampir seminggu tidur saya tidak berapa lena. Selagi suspek pembunuhan Nurin tidak ditahan selagi itulah sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga. Takut kena skop dengan media lain.

Gara-gara terlalu teruja untuk mendahului maklumat dari media lain, ada pihak yang sudah tersalah lapor hingga membangkitkan rasa marah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Macam itulah tugas, ada di kalangan wartawan yang terlalu taksub nak dapatkan bahan berita eksklusif atau dalam istilah media 'skop' hingga menyusahkan orang lain.

Sekarang ini tumpuan saya ialah kes pembunuhan Nurin. Kalau tengah malam semalam operasi polis memberkas 4 lelaki dan seorang wanita di Seksyen 7, Shah Alam yang dikaitkan dengan kes tersebut, pagi ini sekali lagi saya dikejutkan dengan maklumat satu lagi tangkapan -- seorang wanita di Nilai yang dipercayai bersubahat menyembunyikan kanak-kanak malang itu.

Bingkas saya bangun subuh-subuh ini untuk mengatur strategi liputan. Sesudah mengatur perancangan liputan dengan jurukamera, saya pun rebah semula di katil dan sambung tidur. Letih sangat -- macam saya kata tidurpun tak lena gara-gara Nurin.

Harap-harap jurukamera saya tidak kena skop dengan media lain.

20070922

Istimewa Lebaran

Kepada semua pembaca Behind the Scene!

Rebut hadiah istimewa sempena Lebaran ini dari saya dengan menjadi tiga penghantar e-mel pertama dan menjawab pernyataan di bawah:

Mengapa anda suka baca blog Behind the Scene! dan apa lagi yang ingin anda baca?

Hantarkan e-mel anda ke zulkiflibujang@yahoo.com berserta jawapan dan alamat pos lengkap untuk tujuan penghantaran hadiah selewat-lewatnya 27 September ini.

Sekitar Pengkebumian Nurin Jazlin Jazimin

Wangsa Maju, September 21st, 2007 (FRI) -- Selepas sebulan hilang, Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun ditemui dalam keadaan menyayat hati. Dia korban penderaan seksual.

Sepanjang hari saya membuat liputan kes ini, melalui proses menuntut jenazah di HKL, membawanya ke Madrasah Assa'Adah, Seksyen Satu, dekat sini dan akhirnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibukota, Kuala Lumpur.

Berikut, beberapa gambar yang dirakam sepanjang peristiwa sedih ini.
Jenazah Nurin Jazlin Jazimin di bawa ke Madrasah Assa'Adah Wangsa Maju, untuk disembahyangkan dan memberi peluang kepada orang ramai menziarah jenazah untuk kali terakhir.
SEDIH -- Hati ibu bapa mana yang tidak sedih melihat anak diperlukankan sebegitu.
RAMAI -- Orang ramai termasuk rakan-rakan sekolah Allahyarhamah memenuhi ruang madrasah untuk menziarah.
PILU -- Jazimin Abdul Jalil tidak dapat menahan sebak ketika melihat anaknya dibawa ke madrasah untuk disembahyangkan.
Jazimin sempat menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah, termasuk untuk Allahyarhamah Nurin
BERDUA -- Kakak dan adik kepada Allahyarhamah
Kubur tempat bersemadinya Allahyarhamah Nurin Jazlin Jazimin yang menjadi korban manusia berperangai binatang.
SAYU -- Kakak Sulong kepada Nurin yang lebih dikenali sebagai Kak Ngah, melihat kubur adiknya dari jauh.

Hari yang Panjang

KUALA LUMPUR, September 20th, 2007 (THU)Hari ini, hari yang panjang dan penuh cabaran bagi saya.

Bermula seawal jam 8 pagi menuju Shah Alam untuk liputan kes Altantuya yang kembali didengar selapas tertuduh ketiga Abdul Razak Abdullah Baginda menjalani pembedahan mata.

Bagaimanapun, belumpun sempat saya sampai di mahkamah, melalui telefon tangan saya dimaklumkan yang perbicaraan tidak dapat dijalankan kerana tertuduh masih lagi tidak sihat.

Sayapun berpatah balik ke ibu pejabat di Kuala Lumpur, dalam perjalanan itu sekali lagi telefon saya berbunyi dan saya mendapat maklumat yang keputusan ujian DNA ke atas mayat kanak-kanak perempuan yang ditemui di Petaling Jaya Utama pada 17 September lalu adalah adik Nurin Jazlin Jazimin.

Saya terus lencongkan kereta saya menuju Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan memaklumkan perkara itu kepada jurukamera di pejabat dan bersiap-sedia untuk ke sana.

Seperti biasa, masalah utama di HKL adalah mencari petak untuk letak kereta.

Hampir setengah jam mencari-cari tempat sesuai untuk meletakan kereta dan dua kali pusing HKL, saya ambil keputusan untuk letak saja kereta di bahu jalan berhadapan Jabatan Forensik atau juga dikenali sebagai Rumah Mayat di kalangan kami.

Lebih 30 wartawan dari berbagai organisasi sudah berkumpul di hadapan Jabatan Forensik. Cuaca pada hari ini sangat terik, namun tidak terlintas di hati untuk berbuka puasa, tidak seperti sesetangah wartawan/jurugambar (lelaki Islam) yang terpaksa mengorbankan puasa mereka gara-gara tidak tahan.

Lebih tiga jam kami menunggu di luar perkarangan Jabatan Forensik semata-mata mahukan maklumat, adakah benar keputusan ujian DNA yang dilakukan menyamai sample darah ibu bapa Nurin? Apa perasaan mereka? Apa tindakan selanjutnya sedangkan pada hari sebelum itu mereka menafikan yang mayat itu adalah Nurin – anak mereka? Semua persoalan itu perlu dijawab.

Akhirnya, pada pukul 3.30 petang, bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil memberitahu media yang keputusan DNA masih belum keluar dan beliau masih menyatakan itu bukan Nurin.

Apa sudah jadi? Polis kata keputusan ujian sudah keluar dan positif Nurin, tapi Jazimin kata keputusan belum keluar?

Tidak puas hati, kami hubungi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mohon penjelasan. Akhinya Datuk Khalid bersetuju memberi sidang media berhubung keputusan DNA itu.

Bergegas pula kami ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam untuk berjumpa Datuk Khalid.

Dalam masa sama, kamu cuba mendapatkan penjelasan Ketua Polis Negara yang ketika itu menghadiri majlis di Jalan Dato’ Onn, ibu negara.

Semata-mata untuk dapatkan berita yang tepat, betul dan kredibel kami sanggup ke mana saja, Shah Alam-KL hari ini bagaikan litar kami.

6.30 petang deadline untuk berita Inggeris, kelam-kabut saya siapkan laporan.

7.30 malam, buka puasa ala kadar.

8.00 malam bersiap sedia masuk studio untuk menyampaikan berita-berita tersebut.

Keluar studio Editor saya kata, “Pergi rumah Jazimin malam ni, tanya dia nak tuntut ke tak mayat tu.”

Saya?” Tanya saya ringkas.

I don’t have anyone else.”

9.45 malam, dalam kereta menuju ke rumah Jazimin di Seksyen Satu, Wangsa Maju.

Tiba di sana, saya diberitahu Jazimin ke Shah Alam berurusan dengan polis.

Saya pun berjumpa dengan seorang sumber terdekat dengan keluarga Jazimin, berbual-bual sambil mencari maklumat dan mengorek cerita disebalik cerita.

Macam-macam cerita saya dapat dari sumber itu, yang semuanya saya sudah berjanji untuk off-record, maaf!

12.30 tengah malam, baru boleh pulang ke rumah.

Kan saya dah cakap… hari yang panjang!

20070918

Diva or Divo?

PETALING JAYA, September 18th, 2007 (TUE) – Disebalik sesi fotografi untuk majalah DIVA keluaran September 2007.
Saya sebenarnya langsung tidak ingat tentang ‘photoshoot’ ini. Sudah separuh jalan ke tempat kerja baru saya teringat yang saya ada janji temu dengan editor majalah tersebut di Myth Studio, Damansara Perdana.

Terus saja saya memutar stering kereta kembali ke rumah dan capai baju yang sesuai.

Janjinya pukul 10 pagi, 10.30 pagi baru saya muncul di Myth Studio yang sering digunakan untuk ‘photoshoot’ majalah-majalah antarabangsa seperti HerWorld, Cleo dan sebagainya.

Kredit perlu diberikan kepada jurugfoto yang cukup professional dan panatariasnya yang pandai membangkitkan mode saya.



Berikut beberapa foto ‘behind the scene’!

20070911

Dari Sinar Mata (updated)


Kuala Lumpur, September 11, 2007 (Tue) -- Di kalangan rakan-rakan rapat, pasti ada sedar tetang minat saya pada dunia fotografi. Pada saya gambar mendedahkan lebih banyak cerita.

Memang saya tidak pernah menghadiri mana-mana kursus formal mendalami dunia fotografi tapi ia lebih kepada minat suka-suka.

Antara kegilaan saya ketika merakamkan gambar melalui kamera amatur/digital yang dibeli awal tahun ini, ialah mengambil gambar mata.

Pada saya mata itu istimewa.
Kata orang dari mata turun ke hati, dari hati terbitlah cinta!

Ops! saya bukan nak menulis mengenai cinta (itu bukan bidang saya) tapi saya mahu menceritakan mengenai kegilaan mengambil gambar mata ini.

Ada yang bertanya, kenapa nak ambil gambar mata? Pada saya, dari mata kita tahu orang itu tua atau muda, dari mata juga biasanya kita boleh tahu bangsa seseorang itu.

Tapi yang lebih penting, saya nak bagi tahu yang saya akan menjalani pembedahan laser/lasik bagi memperbetul fokusnya, esok 12 September.

Moga berjaya! dan selepas ini saya tidak perlu lagi menggunakan kacamata.

Doakan ya!

SALAM RAMADHAN

Kuala Lumpur, September 11, 2007 (Tue) -- Siapa saja yang tidak ingat tarikh ini? Tarikh yang mencetus polemik di kalangan umat Islam seluruh dunia sebaik runtuhnya dua pencakar langit World Trade Center di New York, Amerika Syarikat.

Sejurus itu, paksi keganasan terus dihala ke dunia Islam sebelah sini. Tempiasnya dirasai semua termasuk kita.

Jihad dilancar, Iraq terjajah semua mencetus ke arah porak-peranda dunia.

Syukur, sebelum Iraq diserang untuk sekian kalinya dan sebelum patung Saddam itu tumbang saya sempat melihat sendiri bumi bersejarah itu.

Tunggu untuk cerita selanjutnya.


Sempena Ramadhan yang bakal disambut umat Islam seluruh dunia, saya mengambil kesempatan mengucapkan SALAM RAMADHAN, moga hidup kita lebih diberkati dan dirahmati. Ameen!

20070905

Kifli Language

Kuala Lumpur, September 5th, 2007 (Wed) -- Saya terima satu SMS dari seorang teman tadi, dan dia memberitahu saya ada sesuatu berlaku pada blog saya.

Segera saya melihat-lihat apa sebenarnya yang berlaku.

Ternyata, ia sesuatu yang mengejutkan.


Seorang lelaki dikenali sebagai Francis L. Holland yang masih belum diketahui lokasinya, sedang mengkaji satu artikel yang saya dikirimkan di blog ini.

Holland, menerusi blognya menyiarkan satu artikel panjang lebar mengenai saya dan bahasa yang saya gunakan dalam blog.

Di bawah ini adalah pautan kepada blog oleh Holland yang menyiarkan laporannya mengenai bahasa yang saya gunakan dalam blog.




Dalam pada itu, Holland turut membina sebuah lagi blog khusus bagi membincangkan mengenai bahasa yang saya gunakan. Berikut adalah pautan kepada blog yang baru dicipta itu.


Nampaknya Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang saya gunakan dalam blog ini menarik perhatian pihak luar, justeru mengapa tidak kita berbangga menggunakan bahasa kebangsaan kita.

20070902

Altantuya Kembali

Shah Alam, September 3rd. 2007 (Mon) -- Selepas beberapa minggu berehat, perbicaraan kes pembunuhan wanita rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu kembali bersambung.
Maka, saya akan kembali semula menyambung tugas berulang-alik ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, mengadap muka-muka peguam yang lebih popular dari wajah hakim yang mengadili kes itu, menyambung semula sembang-sembang dengan rakan wartawan dari media lain yang tergantung sejak lebih dua minggu lalu.
Ada juga seorang rakan wartawan yang turut membuat liputan kes ini mengambil kesempatan melansungkan perkahwinan semepena cuti sekolah yang lalu.
Saya sendiri mengambil terlalu banyak cuti, ke Kuching, ke Kelantan dan ke Singapura.
Cakap-cakap orang diluar -- menjangkakan perbicaraan ini akan bersambung tidak lama, kerana mereka mendakwa sudah dapat membaca apa verdict-nya, bagi saya sendiri yang mengikut kes itu sejak awal, belum pernah berani membayangkan sebarang kemungkinan kerana perbicaraan masih berjalan.
Semoga sesi kali ini akan menjadi lebih hangat dan menggemparkan kerana dengan itu barulah tugas kami rasa lebih dihargai apabila bahan berita yang hangat dan menggemparkan itu akan kembali tesiar di muka depan akhbar atau blok pertama dalam berita tv.