Memasukkan fakta baru mengenai SB
PETALING JAYA, November 9th, 2007 (Fri) -- Pagi ini saya terima satu SMS dari ASP Suffian dari Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, IPK KL. Antara lain SMS itu meminta saya ke pejabatnya kerana Ketua Polis Kuala Lumpur ingin berbincang sesuatu dengan saya.
Terperanjat juga, apa yang tidak kena, kenapa tiba-tiba Datuk Zulhasnan Najib Baharudin nak jumpa? banyak persoalan bermain difikiran. Baru semalam dia buat sidang media, hari ini nak buat lagi?
Pukul 12.10 tengah hari, saya tiba di pintu masuk IPKKL, pengawal tidak benarkan saya masuk, katanya tiada sebarang sidang media hari ini. Pelik! Saya hubungi ASP Suffian semula dan dia mengarahkan pengawal itu benarkan saya masuk.
Sesampai di pejabat ASP Suffian, saya tanya;
"Apa cerita tuan?"
"Masuk pejabat bos saya kejap," katanya ringkas.
Saya pun masuk ke bilik Ketua Jabatan Pengurusan, Tuan Zakaria, turut ada sama, Ketua Cawangan Khas KL atau lebih dikenali sebagai SB iaitu 'special branch' (yang saya tidak pernah jumpa sebelum ini, dan tidak tahupun namanya).
"Saya ada benda nak bincang dengan awak, kita nak minta tolong sikit..." kata Tuan Zakaria, dengar saja perkataan nak minta tolong sikit... perasaan saya lega.
Kami berbincang selama setengah jam, ia berkaitan dengan perancangan pihak tertentu yang ingin mengaturkan satu perhimpunan BERSIH esok di Dataran Merdeka yang tidak mendapat kebenaran polis.
Butir perbincangan saya tidak boleh dedahkan. Tapi percayalah, media juga berperanan untuk memastikan negara terus aman! Kami ada strategi dan kami ada tanggungjawab!
Apa yang mahu saya kongsi di sini ialah pengalaman mengatur strategi dengan pihak SB dan mereka beri saya tip-tip kalau berlaku rusuhan, apa yang perlu dilakukan kalau terkena air yang disimbah oleh pihak FRU atau terkena gas pemedih mata.


















